Thursday, May 21, 2009

Rencah Kehidupan Di Perantauan

Teringat aku satu pertemuan yang tidak di janjikan dengan ex-senior DQ di Kafetaria Mahallah Umar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia seusai kerja part timeku sebagai EA (examination assistant) di UIAM. Dalam pertemuan tersebut, masih kuingat pertanyaan senior ku itu pasal urusan sambung pengajian. Aku khabarkan padanya untuk sambung belajar di Timur Tengah peratusnya banyak kearah Jordan dan respon beliau terhadapku adalah sebaliknya. “ Mie,saing aku kato ngaji luar (di timur tengah ) teruk. Musim panas meme teke time tu, doh la panas pahtu berdebu lagi. Kalu musim sejuk tuh, sejuk pah ko tule. Kalu Jordan gak meme teruk jugok. Dengar kaba, air sokmo tok cukup. Nok wat gano, air negaro tu pun beli dengan negaro Syria. Meme mu keno soba betul-betul. Bagi aku la, Baik mu ngaji dale jah, um ko uia ko, kito nok belaja ni mesti cukup keperluan-keperluan asas tu. Belaja dale pun buleh jadi hebat”. Aku masa tu jadi pak angguk je mendengar celoteh ex-senior DQ yang macam penceramah. Tapi semangat untuk sambung belajar di timur tengah tetap membara walaupun aku agak terlewat dari sahabat-sahabatku yang lain. Dimana kebanyakan sahabatku ketika itu telah menjadi mahasiswa universiti tempatan dan luar manakala aku masih lagi menjadi penganggur yang terhormat dalam bidang menuntut ilmu.


Kata-kata seniorku memang ada kebenarannya setelah aku alaminya di Jordan, musim sejuk yang terlalu sejuk telah aku hadapi dan sekarang ni musim panas pula yang akan kunjung tiba. Alhamdulillah, aku dapat hadapinya secara perlahan-lahan dan menjiwainya walaupun pertama kali merasai semua itu. Tapi satu saja yang selalu menguji kesabaranku sebagai penuntut di Jordan di university mu`tah iaitu masalah air. Untuk pengetahuan, sumber air di sini memang terhad dan setiap rumah hanya bergantung kepada air kerajaan semata-mata. Setahu aku, tiada sumber air tawar samada dari perigi, kolam atau sungai. Yang ada hanya air masin di laut mati. Satu kepastian rumah masyarakat disini wajib ada satu tangki sekurang-kurangnya berisipadu 1meter persegi atau 2 meter persegi dan begitulah juga rumah-rumah sewa penuntut Malaysia. Air kerajaan pula hanya naik sekali seminggu untuk memenuhi tangki-tangki tersebut iaitu pada malam jumaat. Bagiku, inilah masalah yang selalui menghantui aku di sini, rumah sewa aku selalu saja kehabisan air pada hari rabu atau selasa. Padahal aku dan ahli rumah sentiasa berjimat cermat dalam penggunaan air sehingga mandi hanya 2-3 kali sahaja untuk seminggu. Waktu kehabisan air memang begitu tenat sekali di sini, ambil wudhuk terpaksa dengan air minum yang dibeli dan kadang-kadang terpaksa menumpang bilik air rumah kawan yang masih ada simpanan air lagi. Terima kasih buat ahli rumah bayt ashabul kahfi. ( rizqi,nazri,thaha dan syahed) kerana sudi menumpangkan bilik air.


Bagiku, semua tadi kalau di fikirkan secara positif memang banyak manfaatnya . Yang pertamanya, pengalaman sebegini memang pengalaman yang agak unik dan menarik bagi orang baru seperti aku di bumi Jordan. Bayangkanlah di Malaysia kita mandi 3 kali sehari tapi di sini 3 kali seminggu tapi badan masih tidak berbau. Bukankah itu satu keunikkan yang hanya ada di bumi arab saja dan tidak ada di Malaysia. Kedua, boleh melatih kesabaran diri individu serta daya ketahanan mental fizikal seseorang. Ketiga, melatih diriku untuk berjimat cermat dalam penggunaan air. Seterusnya, boleh merapatkan ukhwah sesama penuntut-penuntut yang lain dan melahirkan insan-insan yang suka menolong orang lain bila dalam kesusahan. Tetapi aku tak nafikan keburukan di sebabkan kehabisan bekalan air juga ada dan aku tak mahu menceritakan di sini pasal keburukan tersebut. Terima kasihlah ex-senior DQ kerana mengingatkan aku pasal masalah air di Jordan dan aku telah melaluinya dan ia merupakan pengalaman berharga buatku. Bolehlah aku praktikan budaya jimatkan penggunaan air di sini dan di tanah air nanti

Memang betul keperluan-keperluan asas harus sempurna dan lengkap untuk kita belajar dengan elok macam belajar di universiti tempatan. Semuanya di sana lengkap dari segi insfrastruktur, cuaca elok, sumber air cukup,pengankutan baik dan lain-lain. Semua lengkap, dan tidak sama dengan keadaan di sini. Tapi bagiku itu semua hanyalah kain langsir untuk mencantikan sebuah rumah dan hanya nasi tambah untuk seseorang yang dah rasa kenyang. Ia bukanlah syarat untuk kita belajar dengan cemerlang tapi hanya sabagai pelengkap yang tidak begitu penting. Buktinya, ramai graduan-graduan dari timur tengah telah berjaya menempa nama di tanah air walaupun mereka belajar dalam keadaan yang tidak sebegitu lengkap seperti keadaan di Malaysia. Di sini, setiap pengalaman pahit atau manis hidup di timur tengah memang begitu bermakna sekali untuk masa akan datang. Mungkin, ada orang yang berpendapat sebaliknya dan itu terpulanglah pada orang tersebut.

Tuesday, May 19, 2009

Terbit Dari Kata Hati......


Pejam celik,pejam celik dah masuk 3 bulan 10 hari aku dan sahabat-sahabat seperjuangan berada di bumi Jordan ini. Aku masih lagi macam biasa seperti dahulu cuma fizikal ada sedikit perubahan. Hati dan jiwa ini masih lagi rasa kekosongan dan dahagakan ilmu bak pengembara di padang pasir yang kehausan air. Imtihan awal dan imtihan thani Alhamdulillah telah sempurna kududuki dan natijahnya tidak terlalu baik dan tidak terlalu teruk. Bolehlah untuk di buat modal untuk imtihan nihaie.

Diam-diam dah lama aku tak postkan rencana-rencana dek kerana kesibukan masa yang menghimpit serta kemalasan yang membuak-buak bila berada di bumi orang. Aku mungkin tak sama dengan sahabat-sahabatku yang lain,yang mahir dalam bidang penulisan,yang mahir dalam percakapan, yang mahir dalam mengatur strategi pengajian,yang mahir dalam menaikkan taraf ekonomi diri sendiri,yang mahir dalam pengurusan. Aku hanyalah insan yang lemah serta banyak kekurangan. Tetapi, InsyaAllah, segala kelemahan ini akan ku atasi di satu masa untuk setanding dan berada dalam kelompok dengan sahabat-sahabat semua, yang pasti kita lakukan untuk Islam yang tercinta.

Rupa-rupanya banyak suka-duka menjadi seorang perantau di bumi orang ni. Semua pengalaman pahit dan manis telah mematangkan fikiran seseorang dari fikiran kelas B @ C ke kelas pertama (A) dengan menghadapi semua dugaan dan cabaran yang telah berlaku dan yang akan datang. Tidak dapat tidak,kesabaran dan sikap toleransi merupakan batu asas yang penting untuk seorang yang berada di perantauan. Dengan batu asas inilah menjadi benting pertahanan terakhir untuk menghadapi masyarakat-masyarakat setempat yang kadang-kadang boleh memeningkan kepala tetapi tidak dinafikan yang pemurah pun ramai di sini.

Masih terngiang-ngiang di telinga aku kata-kata seorang sahabat ketika pertama kali kami berta`ruf di bayt malizi “ antum semua ni kena jaga semangat belajar sebab antum masih baru lagi, semangat untuk belajar pun masih kuat lagi,yang paling penting sekali emosi diri antum kena jaga.” Terima kasih amir (pelajar tahun 2) kerana bagi peringatan ketika mula-mula aku sampai di Mu`tah. Bagi aku, peringatan itu memang cukup berharga dan setelah 3 bulan di sini baru aku dapat merasai kemanisan peringatan tersebut. Menjaga emosi di sini memang cukup-cukup penting, kadang-kadang bila emosi tidak terkawal, rasa lemah semangat menebal dari keinginan untuk belajar dan membuat kebaikan,dan kadang-kadang bila emosi stabil semua jadi hebat.MasyaAllah. Tidak peliklah kalau perangai seseorang berubah dari semasa ke semasa dek kerana perubahan emosi mereka.

Entahlah, hari ini dan semalam segala memori lama dan kenangan-kenangan indah,pahit dan manis di tanah air menari-nari di benak kepalaku. Mungkin aku merindui kamu semua sahabat-sahabat. Semoga ukhwah dan pengenalan antara kita semua terbina atas dasar ukhwah fillah dan mendapat keredaan Allah.

Terima kasih kepada ket,solihin,hamzah,awis dan hamzah serta sahabat-sahabat baru di Mu`tah kerana kamulah yang menjadi pengubat rindu tanah air…



sempena hari ma`rad ( bazar pengenalan negara pelajar luar negara )

kenangan selepas menjelajah Petra

makam sahabat al-Harith bin Umair