Thursday, July 30, 2009

Natijahnya.....?

Alhamdulillah…


Pengajianku di Jamieah minggu ini, berjalan dengan lancar sebagaimana minggu-minggu yang telah berlalu, harap minggu-minggu yang mendatang lebih elok lagi hendaknya. Cuma kadang-kadang tu, semangat untuk belajar terasa tenggelam timbul, ada masa semangat belajar membuak-buak dan ada masa layu macam pohon tak disiram. Mujurlah ada kawan-kawan yang faham jiwa, masa kita down merekalah yang mengecasnya balik dengan bagi kata-kata semangat dan bila mereka down, kita pula yang memainkan peranan. Orang kata kena saling melengkapi dan kena saling nasihat menasihati.


Beberapa bulan lepas.


“ Yie, kawe raso nok make spageti la..kawe beli bare kito buat skali,bereh ko dok? Pahtu kalu ado sapo-sapo nok infak duit tuk wat make ni, kito terimo jah. Ko gano?”


Petang semalam lepas kelas di Jamieah.


“ Yie, kawe sero nok make bubur jagung srupo demo buat time AGM tu pulok. Gano Kiro? Bereh dok? Pitih nok beli bare tu kawe wat kiro la. Tamboh sikit sore jadi doh? Kawe tok caro doh. Kalu sero nok,kito keno wat jugok neh. Spelek la gano kiro pun asalkan jadi.


(maaf kerana dialog di atas dalam bahasa Kelantan)


Alhamdulillah, walaupun berada di perantauan, masalah untuk mendapatkan makanan menu Malaysia dan Western Food di sini tidaklah serumit mana. Cuma, menu yang disediakan tidaklah sesempurna menu yang ada di Malaysia. Semuanya bergantung atas kretiviti kita sendiri dengan membuat sedikit bid`ah atas cara masakan tersebut. Mujurlah Chef Nazri seorang sahabatku selalu memberi tunjuk ajar tentang cara memasak yang betul supaya rasanya sedap dan enak.


Ingat lagi, pertama kali giliran aku memasak di sini, aku digelak dan diperlekehkan kerana menu masakan tidak sebagaimana yang diimpikan. Memang terasa benar hati keciku waktu tu, aku cuma senyum dan katakan yang aku memang tak tahu memasak. Dan memang benar pun diriku tak pandai memasak. Tapi Alhamdulillah, suara-suara nakal sudah tidak kedengaran lagi setakat ni. Malah banyak pujian pulak yang diterima. Terima kasih ye kawan-kawan terutama Chef Nazri kerana banyak membantu. Aku bangga dengan kawan-kawanku yang boleh di gelar chef-chef semua.


Semoga Impian untuk memberi ibubapaku merasa masakanku suatu hari nanti tercapai.Amenn.


Di sini bukan ku nak ceritakan perihal memasak sedangkan ia bukan bidangku yang sebenar, tapi pengajaran dan natijah di sebalik kisah tadi termasuk kisah-kisah yang dirasakan berkaitan dengannya.


Pertamanya, pada firasatku ukhwah yang terbina antara kami sesama sahabat semakin bertambah erat dengan aktiviti memasak. Teringat ayat yang berbunyi “ Air tangan masakan ibu boleh merapatkan lagi hubungan kekeluargaan. ” Dan disini ku ubah sedikit ayat tadi dengan berbunyi “ air tangan masakan sahabat boleh merapatkan ukhwah bersama.” Mungkin aktiviti semacam ini boleh kita praktikkan untuk menjernihkan kembali mana-mana hati yang masih tidak mempunyai jalan persefahaman.


Keduanya, aktiviti sebegini boleh mewujudkan budaya tolong menolong dan bantu membantu. Indahnya hidup jika budaya sebegini dihidupkan kembali dan didirikan atas dasar ukhwah Islamiyyah. Sudah pasti insan yang terdidik dengan kehidupan sebegini akan terhindar dari sikap mementingkan diri sendiri dan bersikap sombong.


Lagi satu, pada pandanganku, amalan infak-menginfak (bersedekah) memang patut dipraktikkan. Satu yang kita bagi, sepuluh yang akan datang balik tanpa kita sedari, kerana itulah rahsia daripada Allah s.w.t. kepada orang suka menginfakkan hartanya. Sebagaimana orang yang membayar zakat, tidak pernah lagi setakat ni ku lihat orang yang membayar zakat semakin papa kedana,tetapi yang semakin berharta dan berwang itu sudah pasti ada. Semoga diri yang berkata ini mengambil peluang tersebut.


Akhir sekali, inginku pesan dan tegaskan di sini, pertama-tama kali kita hendak melakukan sesuatu perkara kita hendaklah ikhlaskan niat kerana Allah s.w.t. Jika kita pasakkan betul-betul niat kita adalah kerana Allah s.w.t insyaAllah semuanya akan berjalan dengan lancar dan licin serta perbuatan kita tersebut mendapat keberkatan dari Allah s.w.t. Jika niat kita ikhlas hendak memberi kesenangan dan kegembiraan pada hati sahabat-sahabat dan orang sekeliling kita, contoh paliang senang ialah menghidangkan mereka dengan masakan kita, InsyaAllah Allah akan membalasnya dengan memberi kita perasaan yang lebih-lebih gembira dan senang hati daripada mereka yang gembira .

Begitu juga dalam perihal lain, contohnya, jika kita bekerja niat ikhlas kerana Allah s.w.t. Sudah semestinya Allah akan membalasi kita lebih lagi daripada apa yang kita usahakan dengan membuka segala pintu-pintu nikmat yang ada.


Dalam konteks kita sebagai seorang pelajar, lebih-lebih lagi pelajar agama, marilah kita sama-sama ikhlaskan diri dan perbetulkan niat menuntut ilmu ini ialah semata-mata kerana Allah s.w.t. Dengan melakukan sedemikian, keberkatan dan keberkesanan ilmu yang kita pelajari akan berkekalan dalam diri kita hingga sepanjang hayat. Amat rugilah seseorang yang keluar pada jalan Allah (menuntu ilmu) disebabkan ingin mendapat kebendaan harta, ingin mendapat nama, ingin mendapat kemashuran serta ingin mendapat pangkat. Merekalah antara orang-orang yang rugi. Ingatlah, semua ini tidak akan bertahan lama tanpa keberkatan daripada Allah s.w.t.


Maksud Firma Allah s.w.t :

Artinya: "Sesungguhnya orang-orang mu'min adalah bersaudara karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." (Al Hujurat:10)

Maksud hadits dari Ibnu Umar ra yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim, Rasulullah saw bersabda:

Artinya: "Orang muslim itu saudara bagi orang muslim lainnya. Dia tidak menzaliminya dan tidak pula membiarkannya dizalimi."

Maksud ayat surat Al Maidah, Allah berfirman:

Artinya: "Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya." (Al Maaidah:2)

Waallahua`lam.

Wednesday, July 29, 2009

Lambaian Ka`bah

rindu kian terasa

“Kita merancang dan Allah merancang, dan sebaik-baik perancangan ialah perancangan Allah s.w.t” maksud ayat 54 : surah ali-Imran.


Kenangan mengerjakan umrah dengan rakan-rakan dari DQ seramai 8 orang semua sekali pada bulan 3 tahun 2007 masih lagi berpusing-berpusing dalam memori silamku. Masa tu, semua yang pergi umrah ada 2 impian termasuk aku. Pertama, semoga ibadah umrah berjalan lancar dan ibadah diterima disisiNya dan kedua, semoga muqabalah untuk memasuki Universiti Islam Madinah berjaya dengan sempurna dan kami harap sangat-sangat dapat diterima masuk belajar di sana untuk kemasukan akan datang sesi kemasukan tahun 2008.


Tetapi, Allah lebih mengetahui di mana tempat yang selayak bagi makhlukNya untuk menimba ilmu. Dengan aku dan Hamzah di campakkan di Bumi Syam, yang lain ke Mesir dan ada yang belajar di IPTA dan ada juga yang telah bekerja. Mungkin, semua ini ada hikmah yang tersembunyi yang dirahsiakan oleh Allah s.w.t kepada hambaNya. Mungkin doaku di depan Kabah dan di sekitar Multazam telah di kabulkan oleh Allah s.wt. “Ya Allah Ya tuhanKu, Jika Universiti Islam Madinah adalah tempat yang selayaknya untuk daku menimba ilmu dan di sana mampu menjadikan daku orang yang berilmu maka letaklah daku di sana, tetapi jika diri ini bertambah jahil dan tidak layak sekiranya berada di sana, maka Engkau gantilah dengan tempat yang sesuai bagiku.” Amen Ya Rabbal Alamin.

di Muzium Mekah


Aku tetap bersyukur padamu Ya Allah kerana telah memberiku peluang untuk menambah ilmu di Bumi Syam amnya dan Bumi Mu`tah khususnya. Semuanya kuserahkan padaMu Ya Allah sekiranya ada keajaiban yang akan berlaku dalam hidupku ini.


Mu`tah, 29 Julai 2009, jam 7.00 pm.


Peluang kedua ke Tanah Suci.


Syukur kehadrat Ilahi kali ini, Akhirnya hatiku lega bila syarikat travel Abu Anab & Abu Ali telah memberi kata putus yang kami boleh pergi mengerjakan ibadat umrah Ramadhan kali ini di Tanah Suci Makkah. Walaupun visa dan kos bayaran pengurusan umrah masih belum selesai, tapi kata putus dari pihak travel sedikit sebanyak memberi ruang kegembiraan untuk diriku sendiri. Gembiranya hati ini hanya tuhan yang tahu, bolehlah aku bermadu kasih dengan ayahnda dan bonda tersayang di Tanah Suci nanti. Semoga ayahnda dan bonda tercinta serta Ayah Ngoh dan Mok Ngoh yang bakal berangkat pada 17 Ogos 2009 ke Tanah Suci berada dalam penjagaan Allah s.w.t sepanjang perjalanan ke Tanah Suci dan dijauhkan dari segala musibah yang tidak diingini. Semoga kerinduan kita akan terubat di Tanah Suci nanti walaupun pemergian anakmu ke sana hanya 8 hari.


Sudah lama aku impikan untuk menjalankan ibadat umrah bersama kedua-dua ibubapaku. Tetapi nasib tidak menyebelahi diriku pada ketika itu, berbanding abang dan kakakku yang terbang ke Tanah Suci bersama Ayahnda dan Bonda. Namun, aku masih lagi boleh berbangga dengan mereka kerana akulah orang pertama antara kami adik beradik yang pergi menjalankan ibadat umrah ketika masih muda walaupun tidak bersama-sama dengan ayah dan ibuku.


Apa-apa pun ku tetap berterima kasih kepada semua adik beradikku (Abe Long dengan keluarga, Kak Gi dengan keluarga, Abe lan dengan keluarga, Kak cik dengan keluarga dan Abe Me dengan keluarga) yang banyak membantuku dan memberi tunjuk ajar dari diri ini kecil hingga ke besar. Tanpa kamu semua siapalah diriku ini. Akan ku hadiahkan kalian dengan tinta doa-doa dariku. Ku doakan agar Abe Lan dan Abe me di beri peluang oleh Allah s.w.t untuk mengerjakan ibadat umrah ataupun ibadat haji nanti.Amenn.


Kepada sahabat-sahabat yang bakal bersama denganku untuk menjalankan ibadah umrah kali ini, iaitu Akh Lutfi, Akh Solihin dan Akh Faisal P.Puteh kuharapkan kita semua sentiasa memperbanyak doa kepada Allah s.w.t agar dipermudahkan segala urusan kita dan minta dijauhkan dari segala musibah yang tidak diingini. Harap juga, kesihatan sentiasa di jaga walaupun masih tidak ada orang jaga lagi. Perbanyakkanlah doa kerana doa itu senjata bagi orang-orang mukmin. Dengan doa, semua perkara akan berubah..IsyaAllah.



Tuesday, July 28, 2009

“Inilah Saya, Anda Siapa?”

“Inilah saya, anda siapa?”

Seorang wartawan bertanya Imam al-Syahid tentang dirinya dan meminta beliau memperkenalkan dirinya sendiri kepada orang ramai. Beliau berkata: “Saya adalah pengembara yang mencari kebenaran. Saya adalah manusia yang mencari erti sebenar kemanusiaan. Saya adalah seorang warganegara yang impikan sebuah negara yang dihormati, merdeka, tenteram dan hidup harmoni di bawah naungan Islam yang murni. Saya hanyalah ibarat seorang yang memahami rahsia hidupnya. Justeru dia berseru: Sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah tuhan sekalian alam, tiada yang mempersekutui-Nya. Inilah yang diperintahkan kepada saya dan saya salah seorang yang menyerahkan diri. Inilah saya, anda pula siapa?”

Hasan al-Banna

Termenung seketika bila memerhati kata-kata Imam Hassan al-Banna, alangkah jauh bezanya antara kita dengan al-Syahid bagaikan langit dan bumi. Jika ditanya kepada remaja-remaja sekarang tentang diri mereka? Yang pasti beraneka jawapan yang akan kita terima.

Diri ini juga berasa terkontang-kanting untuk menjawab persoalan ini jika ditanya sebegini secara spontan. Mampu saja untuk diriku berhipokrit menjawab soalan itu tapi itu bukanlah jalanku untuk melarikan diri.

Malu rasanya diri ini jika kita yang selalu mengikrarkan “ sembahyangku, ibadatku, hidupku, dan matiku hanya untuk Allah tuhan sekalian alam” masih lagi bergelumang dengan maksiat. Sedangkan kita telah berikrar di hadapan Allah s.w.t tapi masih lagi melakukan perkara yang ditegah olehNya.

Memang benar, kita masih lagi lemah. Tetapi, marilah kita sama-sama berusaha untuk mengislahkan diri. Janganlah kita menjadi seperti lalang, bila ditiup ke kanan ia membengkok ke kanan, dan bila ditiup ke kiri, ke kiri pula ia membengkok. Semoga diri yang berkata-kata ini lebih lagi mengambil pengajaran dan iktibar. Wallahuaa`lam.

* Tajuk entry bukanlah menceritakan perihal yang berkata. Tetapi menceritakan perihal al-Syahid Imam Hassan al- Banna.