Friday, October 23, 2009

My Team is The Best ( siri 1)

Kenangan Yang Menggamit Perasaan.


Memang pertapaan saya selama 3tahun berada di Dq memberi banyak pengalaman yang berharga. Tidak kira apa-apa pengalaman pun, samada dalam pencapaian akademik dan aktiviti pembelajaran, pengalaman dalam kegiatan sukan dan pengalaman semasa bergaul dengan masyarakat luar. Semuanya merupakan point-point yang penting dalam hidup saya dan ia amat bermakna untuk saya.


Maaflah, saya tak mahu sentuh pasal aktiviti akademik dan pergaulan dengan masyarakat. Cuma kali ni, nak sentuh pasal pengalaman dalam kegiatan sukan kegilaan pelajar dq ( bagi lelaki je) iaitu permainan bola sepak.


Semester 1 Darul Quran


Alhamdulillah, awal-awal bila saya masuk dq dah terpilih mewakili dq dalam kejohanan terbuka ISMA 2005 di UKM. Ramai juga yang jeles pasal saya masih lagi budak baru masa tu. Apa-apa pun, terima kasih kepada Ust Nazri kerana membenarkan saya mewakili dq dan saya telah membalas kepercayaan ust nazri dengan menjaringkan beberapa gol.


Masa tu posisi masih lagi tak tetap. Ada masa ditugaskan menjadi striker, dan kadang-kadang ditugaskan sebagai defend. Kali ni, nasib tak menyebelahi team kami untuk menjuarai piala pusingan kerana kalah tipis dalam penalti ketika perlawanan akhir selepas terikat 0-0.


Apa-apa pun, satay kajang tetap menjadi habuan kami pada malam hari walaupun setakat berjaya dengan gelaran Naib Johan. Terima kasih ustaz.


Semester 3 Darul Quran


Tahun 2006 sekali lagi DQ menghantar wakil ke kejohanan terbuka ISMA yang diadakan di UNITEN. Sekali lagi saya ditugaskan untuk mewakili team Dq atas arahan ust Nazri. Kali ni, posisi sebagai striker dan midfielder kanan menjadi pertaruhan untuk saya. Macam biasa, kali ni saya tetap menjaringkan beberapa gol. Cuma saya agak terkilan dan telah merisaukan team Dq sebab tak mampu jaringkan gol ketika final game. Masa tu kami terikat 0-0 dengan pihak lawan sehingga perlawanan terpaksa berakhir dengan sepakan penalti. Yang sedihnya, nasib tidak menyebelahi saya. Saya tak mampu untuk menjaringkan gol bila ditugaskan untuk mengambil sepakan penalty. Tetapi, Alhamdulillah kawan-kawan yang lain telah menjalankan tugas yang baik dan kami berjaya membawa balik Piala Pusingan ISMA ke DQ buat pertama kalinya (kalu tak silap).


Memang satu trauma bila tak berjaya menjaringkan gol pada set penentuan dengan sepakan penalti. Semuanya bergantung dengan nasib. Sehingga sekarang, kalau ada perlawanan yang membabitkan penalty, saya masih tak berani untuk mengambilnya. Moga-moga keyakinan akan muncul kembali.


Semester 4 Darul Quran


Tahun 2007 berikutnya, saya telah terpilih untuk mewakili Dq dalam acara bola sepak ke SUKMAT singkatan dari Sukan Antara Maahad-Maahad Tahfiz Peringkat Kebangsaan yang dilangsungkan di Kompleks Sukan Dq. Alhamdulillah, dengan persiapan yang mantap dan latihan yang begitu syadid dari, Team Dq telah berjaya menjadi Johan dan membawa balik Piala Pusingan ke Dq. Berkat dan hasil latihan dari jurulatih Dq iaitu Allamah Ustaz Nazri.


Tenaga Pengajar dan Jurulatih Maahad Al-Mannar


Pada akhir tahun 2007, sekali lagi saya dijemput untuk bermain bola sepak dengan team Dq pada kejohanan ISMA. Sedangkan status sebagai pelajar Dq dah berakhir. Alhamdulillah, walaupun status sebagai pelajar dah luput, Team Dq masih menjemput saya untuk bermain dengan mereka.


Pada kejohanan kali ini saya menanggung dua tanggungjawab iaitu sebagai pemain untuk Team Dq dan menjadi jurulatih kepada team bawah 18 dari Maahad al-Mannar. Kali ni, Team Dq sekali lagi berjaya mengekalkan status sebagai team wanted dikalangan team lain dan masih lagi menjadi team yang digeruni pihak lawan. Dengan status antara team yang digeruni pihak lawan,Team Dq telah berjaya mengekalkan kejuaraan dan terus melakar sejarah bagi Dq sendiri.


Harap-harap generasi yang akan datang mampu mengekalkan status Team Dq sebagai team yang digeruni pihak lawan sepanjang penglibatan dalam mana-mana Kejohanan. Jangan malukan senior-senior kamu yang telah melakar sejarah bagi Dq sendiri.


Cerita Bola Sepak di Jordan


Pepatah ada berbunyi “ masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum”. Tetapi itulah hakikatnya. Bila berada di negara orang ni, banyak yang kita perlu mengalah bila berhadapan dengan penduduk setempat. Terutamanya bila berhadapan dengan individu-individu yang keras kepala. Jadi, kalau kat Malaysia, boleh dikatakan setiap petang kita bersenam dengan permainan bola sepak, tetapi di Mu`tah ni sebaliknya. Seminggu sekali baru boleh turun ke padang.


Dipendekkan cerita. Mula-mula sampai Mu`tah saya dihebohkan dengan KARISMA Karnival Sukan Mahasiswa. Semua acara sukan dipertandingkan termasuk bola sepak. Mula-mula tu, rasa macam tak nak sertai carnival ni. Tetapi, rindukan bola sepak punya pasal. Terus saya mencuba nasib untuk mewakili Mu`tah. Dan Alhamdulillah, saya telah terpilih oleh Pak Long, pelajar senior merangkap jurulatih bagi Mu`tah untuk mewakili Team SBB A.


Akhirnya, Kejuaraan tetap menjadi milik SBB sekali lagi. Selama 3 atau 4 tahun berturut-turut Mu`tah memenangi Piala KARISMA dan dahulu dikenali Piala Duta. Semua mantiqah samada dari Irbid, Mafraq dan Amman terpaksa kempunan sekali lagi. InsyaAllah Mu`tah akan setia menjaga Piala KARISMA untuk kejohanan yang akan datang dan tidak akan membenarkan mana-mana mantiqah yang sudi mengambilnya. Harap bersabar.


Cerita DQ United


Secara hormat dan secara jujurnya, saya suka berganding bahu dengan team DQ united dan Team Hafs. Tetapi saya lebih kepada team DQ United. Nama DQ United telah masyhur dan ma`ruf dikalangan masyarakat DQ dan masyarakat sekitar Kuala Kubu Bharu. Banyak kenangan antara kita semua Dq United akan terus tersimpan kukuh di memori masing-masing. Diri ini rindukan permainan-permainan kita semua. Yang paling penting, bila menang satu-satu kejohanan. Pasti wakaf di Tasik Dq akan berasap dengan asap BBQ yang dihasilkan Ustaz Nazri.


Terima Kasih Ustaz.


UNGKITAN NOSTALGIA LAMA MENGUNGKIT KENANGAN MANIS DALAM BOLA SEPAK.




KEJOHANAN ISMA 2008 ( JUARA BERTAHAN)


SUKMAT 2007 ( JOHAN)

FINAL SUKMAT 2007

KENANGAN BERSAMA JURULATIH KAMI

AL-FADIL USTAZ NAZRI ABDULLAH


KEJOHANAN PESTA KONVOKESYEN DQ 2007

(JOHAN)


FINAL DQ UNITED

SBB MU`TAH

Saturday, October 17, 2009

Kisah Buat Seorang Pejuang

Kembalilah Semangat


Semoga penulisan kali ini boleh menjadi pencetus semangat dan kekuatan yang telah hilang. Ya Allah stabilkanlah emosi dan semangatku yang telah mengendur. Sama-sama kita ambil iktibar.


Siapa itu Mus`ab bin Amir r.a? Mungkin ramai yang telah mengenali dan mengetahui kisah Mus`ab dalam perjuangan menegakkan kalimah Haq. Tetapi seramai mana antara kita yang sanggup mengatur langkah dalam medan dakwah untuk menyamai serta meniru jalan yang telah dilalui oleh Mus`ab. Berbahagialah sesiapa yang memilih jalan-jalan yang telah dilalui oleh para sahabat r.a.


Adakah wujud dikalangan kita pada masa kini yang sanggup meninggalkan segala kemewahan dalam kehidupan, sanggup meninggalkan pangkat, sanggup meninggalkan kasih sayang keluarga demi kemashlahatan Islam. Mungkin ada, tetapi tidak begitu ramai dan mungkin hanya 1/10 atau 1/100.


Inilah Mus`ab bin Umair. Sebelum memeluk Islam, beliau merupakan dari golongan berada, hidupnya sentiasa senang, mendapat kasih sayang yang mencukupi dari keluarga, Seorang yang tampan serta bersih dalam pemakaian. Akan tetapi, selepas memeluk Islam, segala kemewahan dan kesenangan dalam hidupnya sanggup beliau tinggalkan. Dari berpakaian mewah kepada pakain serba sederhana yang penuh tampalan.


Ketika Mus`ab pergi meninggalkan satu majlis, Rasulullah s.a.w mengatakan : aku lihat Mus`ab, dan sesungguhnya tidak ada anak muda di Mekah yang lebih berpunya dan beruntung daripadanya. Tetapi semua kemewahan itu ditinggalkan demi cintanya kepada Allah dan nabinya.


Mus`ab juga merupakan salah seorang sahabat yang telah berhijrah ke Habshah demi menjaga kemashlahatan agama Islam. Segala keperitan sanggup dilalui beliau bersama-sama dengan para sahabat yang lain. Susuk tubuh beliau teruk berubah sekembali dari Habshah ke Mekah sehingga menimbulkan belas kasihan dari ibunya yang dalam kekufuran.


Mus`ab bin Umair lah antara kader-kader yang dilatih oleh Rasulullah s.a.w yang telah ditugaskan untuk berdakwah di Yathrib (kini Madinah al-Munawwarah). Hasil kerja dakwah yang dijalankan oleh Mus`ab bin Umair telah mengembangkan lagi ajaran Islam di Yathrib. Sehingga dikatakan tidak ada satu rumah pun di Yathrib tidak pernah dikunjungi oleh Mus`ab. Dan setiap rumah di Yathrib pasti bercahaya dengan cahaya agama Islam kesan daripada dakwah Mus`ab.


Pernah satu ketika, semasa Mus`ab mengajar kepada pengikutnya. Datang salah seorang daripada ketua kaum iaitu Usay yang berada di Madinah memarahi dan mengungut kerja dakwah yang dilakukan oleh Mus`ab. Tetapi hasil kecerdikan dan kepandaian Mus`ab, beliau berjaya memikat hati Usay untuk memeluk Islam selepas dibacakan ayat suci al-Quran kepada Usay.



Mus`ab juga merupakan sahabat yang turut terlibat dalam peperangan Badar dan Uhud. Kemuncak hidup Mus`ab mencapai titik kemulian yang abadi adalah bermula dari peperangan Uhud. Saudara dari keluarga ayahnya, berkata; Mus'ab ditugaskan membawa tiang bendera perang ketika perang Uhud. Disaat pasukan muslimin berpecah-belah, Dia berdiri dengan tegap sampai ketika ia bertemu Ibn Qaami'ah seorang panglima pasukan kafir Mekkah. Ibn Qaami'ah kemudiah memukul dan memotong tangan kanan Mus'ab. Tetapi, beliau tetap teguh dengan memegang bendera dengan tangan kirinya sambil berkata "Dan sungguh Muhammad SAW itu adalah seorang nabi, dan Nabi-nabi telah meningal sebelumku". Kemudian Ibn Qaami'ah memutuskan tangan kiri Mus'ab. Mus'ab tetap menegakkan bendera perang dengan lengan atas dan dadanya sambil berkata "Dan sungguh Muhammad SAW itu adalah seorang nabi, dan Nabi-nabi telah meningal sebelumku". Kemudian datang prajurit kafir ketiga yang menghunuskan tombaknya ke dada Mus'ab.


Itulah titik terakhir Mus`ab dengan mengakhiri hidupnya sebagai seorang syuhada yang bakal menerima ganjaran-ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t.


Satu lagi cerita kesedihan semasa kisah pengebumian jenazah Mus`ab. Beliau memang tidak meninggalkan apa-apa pun harta dan kekayaan selain sehelai kain yang digunakan oleh sahabat yang lain untuk menutupi tubuh badannya. Jika ditutup kepalanya, belah kaki pula akan tersingkat. Dan jika ditarik menutup kaki, belah kepala pula akan tersingkat. Akhirnya Rasulullah s.a.w menyuruh para sahabat yang lain, agar menutup kepala dengan kain dan belah kaki yang tersingkat ditutup dengan daun-daun yang ada.


Begitu sekali cerita Mus`ab bin Umair yang dahulunya dari golongan senang lenang, tetapi demi Allah dan Rasulullah s.a.w semua kepentingan dan kekayaan ditinggalkan oleh beliau. Jika dibandingkan dengan kita pada hari ini, Mampukah kita mencontohi Mus`ab bin Umair dalam medan dakwah. Sesungguhnya medan dakwah memang memerlukan pengorbanan. Tidak dipanggil dakwah jika kerjanya dijalankan tanpa ada onak dan duri. Tidak dipanggil dakwah jika hampaian permaidani merah menjadi jalannya.


Semoga semua hati-hati yang masih lagi dalam zon kesenangan, ketiduran dan keselesaan akan terus bangkit dan sedar terhadap tanggungjawab sebagai seorang Islam. Semoga, kita juga mampu mencapai atau mampu ke arah kemuncak kehidupan bagi menghampiri titik kemulian seperti Mus`ab bin Umair. Insya Allah.