Thursday, November 26, 2009

Salam Aiduladha



Salam Aiduladha kepada semua yang mengenali diri ini. Kepada ayahnda dan bonda ku pohon ampun dan maaf dari diri ini masih lagi kecil sebesar tapak tangan sehingga mampu berdikari seperti hari ini. Hanya doa daripada ayahnda dan bonda yang kutagihkan untuk kehidupan anaknda yang akan datang. Tidak lupa juga kepada abang long sekeluarga, kak gi sekeluarga, abang lan sekeluarga, kak cik sekeluarga dan pok man sekeluarga. Doakan adikmu semoga sentiasa berada di bawah rahmat dan hidayatNya. Kepada anak-anak buah yang kusayangi, doakan ayah su semoga ayah su sentiasa thabat dalam kerja dan amal dakwah. Seterusnya, ku pohon ampun dan kemaafan kepada semua sanak saudara, kenalan, teman, sahabat dan sesiapa yang mengenali diri yang serba kekurangan ini semenjak pertama kali kita betentang pandangan. Andaikata diri ini berbuat perkara yang kurang baik, tegurlah. Teguran kalian memang diperlukan untuk kemaslahatan bersama.

عيد كم مبارك كل عام وانتم بخير

Sunday, November 22, 2009

Sedikit Perihal Tentang Aurat

Syukur alhamdulillah, semoga artikel ini boleh memberi kesedaran kepada kita semua termasuk diri ini. Mungkin kita boleh meningkatkan lagi kefahaman tentang perihal kepentingan menjaga aurat dengan membilik kitab-kitab muktabar @ rujukan-rujukan lain. Artikel ini hanyalah sebahagian dari juzuk-juzuk yang kecil jika hendak dibandingkan dengan rujukan lain. Tidak ada yang diharapkan oleh pencetus artikel ini, selain redha Allah s.w.t. Semoga kita semua dapat ambil iktibar.


Tentang persoalan-persaolan yang dibangkitkan daripada pembaca pada artikel yang lepas. Izinkan saya menjawab serba sedikit sebagaimana ilmu saya yang masih lagi cetek. Mungkin jawapan saya tidak akan memuaskan hati pembaca. Tetapi ia sekadar berkongsi pandangan. InsyaAllah jawapan ini berdasarkan mazhab syafie dan mengikut pemahaman saya sendiri.


Tentang isu apakah melihat aurat sesama sendiri seperti lelaki melihat aurat lelaki dan perempuan melihat aurat perempuan di haramkan?


Jawapan : Ia memang diharamkan mengikut maksud riwayat hadis. Dalam hadith sahih yang menerangkan bahawa, lelaki tidak boleh melihat aurat sesama lelaki dan begitu juga bagi wanita juga tidak boleh melihat aurat sesama wanita. Hadith riwayat Abu Sa’id Al-Khudri , yang menurut muslim, Abu Daud dan At-Tarmizi lafaznya berbunyi : “Janganlah hendaknya lelaki melihat aurat lelaki lain dan wanita melihat aurat wanita lain. Dan jangan lelaki tidur satu selimut dengan lelaki lain dan wanita tidur satu selimut dengan wanita lain..”


Soalan tentang apakah tidak boleh memakai pakaian bercorak, baju berbunga-bunga atau baju berkilau.


Jawapan : Saya suka memasukkan isu ini dalam masalah berhias. Andaikata dengan berpakaian sebegini berniatkan untuk berhias dan ingin menarik perhatian sang teruna ataupun mana-mana lelaki maka saya nasihatkan supaya latihkan diri untuk menjauhi perkara sebegini. Kerana telah datang banyak ayat- ayat daripada Allah s.w.t antaranya bermaksud


“Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan jangan menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, putera-putera lelaki mereka, atau puteraputera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang ‘aurat wanita. Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (al-Nur-31)


Allah telah berfirman yang bermaksud:“Janganlah menampakkan perhiasan”(al-Nur: 31). Dengan ini jelas bahawa sebarang corak perhiasan di anggota badan atau di pakaian, adalah boleh membawa fitnah. Dengan inilah Allah melarang bermake-up. Larangan seperti ini hanya sanggup ditaati oleh wanita-wanita yang beriman sahaja kerana takut kepada kemurkaan Allah dan siksaan dariNya. Pengertian perhiasan bukanlah terhad pada alat-alat solek atau fesyen-fesyen pakaian sahaja, malahan perhiasan yang paling istemewa adalah terletak pada tubuh badan seseorang wanita itu.


Isu lain. Macam mana hukum menunjukkan gambar kita waktu kanak-kanak dimana gambar tersebut dalam keadaan tidak menutup aurat.


Jawapan : Secara logik akal ia tidak menjadi masalah jika gambar tersebut tidak menaikkan syhwat hawa nafsu. Ini berdasarkan sebab gambar tersebut di ambil ketika masih lagi belum baligh. Maka suruhan untuk menjaga aurat masih lagi tidak ditaklifkan atas mereka yang masih belum baligh. Andaikata ia boleh menaikkan hawa nafsu dan syahwat jika gambar itu dilihat maka hukumnya adalah haram berdasarkan sebab boleh mendatangkan keburukan. Di sini saya mengambil jalan tengah atau dengar kata lain dengan jalan berhati-hati demi menjaga kemaslahatan iaitu dengan menyimpan semua gambar-gambar yang tidak menutup aurat kerana ia boleh memberi keaiban kepada kita sendiri jika ada orang melihatnya.


Isu tentang hukum batasan aurat seorang Islam dengan bukan Islam.


Jawapan : Aurat perempuan Islam dengan perempuan bukan Islam sama dengan aurat perempuan Islam dengan lelaki bukan muhrim yang Islam. Iaitu muka dan telapak tangan. Diceritakan Ubadah bin Nusayy berkata,”Umar telah menulis surat kepada Abu Ubaidah bin Al-Jarah, bahwa perempuan-perempuan Ahludz-Dzimmah (kafir yang ada perlindungan Islam) masuk ke tempat mandi bersama perempuan-perempuan muslimah! Cegahlah mereka agar tidak berbuat seperti itu dan halal selain itu., karena sesungguhnya perempuan kafir tidak boleh melihat aurat perempuan muslimah. Tafsir Ash-Shobunu.


Isu tentang membuka aurat dihadapan kanak-kanak.


Jawapan : Bagi saya, apakah sudi kalian semua membuka aurat di hadapan mereka. Dengan menampakkan aurat-aurat yang tidak terjaga. Sedangkan kita sudah memahami apa itu hukum membuka aurat. Maka di sini kita boleh menjadi contoh kepada-kepada kanak-kanak tersebut dengan sentiasa menjaga aurat walaupun sekecil-kecil perkara. Masa inilah uslub dakwah dengan memberi contoh tauladan yang baik perlu dipraktikkan. Semoga kanak-kanak itu sentiasa menjaga batasan aurat bilamana mereka baligh.


Andaikata ia diperbolehkan maka saya mengambil pendekatan ia adalah perkara yang diperbolehkan kepada orang biasa dan satu keaiban kepada seseorang yang arif kepada hukum hakam dalam Islam terutama yang sudah arif dalam bab munutup aurat.


Semoga usaha ini dapat memberi sedikit istifadhah dan pengajaran kepada semua pembaca.

Friday, November 20, 2009

Perjuangan Kita Masih Jauh

Sebelum memanjangkan pena. Saya ingin mendoakan semua sahabat-sahabat yang telah berangkat ke Mekah bagi menunaikan ibadat haji semoga mendapat haji yang mabrur serta selamat pergi dan kembali semula. Semoga kepulangan kalian semua bakal membawa perubahan di bumi Mu`tah dan Jordan.


Saya cukup terkesan dengan kata-kata Dr Syuweih seorang pakar dalam bidang ilmu Fiqh Muaasarah dan Dr Mustafha Abu Zaid seorang yang berjiwa haraki dalam diri beliau. Kedua-duanya merupakan pensyarah di Jabatan Kuliyyah Syariah, Universiti Mu`tah, Jordan.


Kata-kata pencetus.


Kata-kata Dr Syuweih pada malam muqadimah pembacaan kitab Musirah al-fiqhul islami al- muaasir wa maalamahahu” kitab karangan beliau sendiri. Beliau telah menimbulkan tanda tanya kepada semua pelajar yang ada pada malam tersebut apakah kita sekarang ni berada dalam keadaan selamat. Apakah agama Islam sudah berada ditempat yang sebetul-betul hak baginya dan yang selayak bagi kesucian agama tersebut. Apakah pengamalan masyarakat kita terhadap hukum-hukum Islam sudah lengkap dan tidak ada istilah berpegang dengan hukum buatan sendiri. Dengan kata lain, menggunakan hukum mengikut kehendak hawa nafsu manusia.


Beliau telah membawa contoh yang mudah. Apakah ada beza bandar kuala lumpur yang majoriti masyarakatnya Islam (dan Malaysia kini di iktiraf sebagai “negara Islam”) dengan ibu bandar negara-negara yang diperintah oleh golongan kafir seperti New York, Bangkok dan sebagainya? Sedangkan minum arak, pelacuran, pergaulan bebas, zina masih lagi berleluasa di kalangan masyarakat Islam sendiri tidak kira di mana-mana negara Islam yang lain.


Beliau juga telah membawa satu lagi contoh. Andaikata Nabi Muhammad s.a.w datang kepada umatnya pada zaman kini (hari ini) dan baginda masuk ke dalam masjid pada waktu solat fardhu. Apakah reaksi baginda terhadap jemaah kita pada waktu tersebut. Dengan saf-saf yang masih lagi banyak kekosongan yang patut diisi oleh umatnya. Dengan solat umatnya yang masih lagi tunggang langgang. Saya yakin dan pasti bahawa nabi Muhammad s.a.w akan bersedih dengan hakikat dan masalah yang berlaku ke atas umatnya pada hari ini.


Beliau turut membawa contoh lain untuk mempersoalkan kepada kami semua. Berkaitan perihal di mana letaknya Islam sebenarnya pada zaman kini. Beliau menceritakan yang Tunisia merupakan satu negara yang diiktiraf sebagai negara Islam tetapi menegah poligami. Sehinggakan mereka yang berkahwin lebih dari 1 akan dikenakan denda. Manakala masjid-masjid di sekitar tanah arab pula hanya dibuka pada waktu solat sahaja. Sedangkan pada waktu selainnya pintu masjid dikunci rapat. Sehingga kita nampak fungsi masjid hanyalah menjadi tempat solat semata. Inikah dinamakan negara Islam. Sedangkan Islam tidak menghalang membuat kepada perkara kebaikan.


Nasihat dari seorang Murabbi


Manakala kata-kata nasihat Dr Mustafa Abu Zaid dalam kelas “ manahij muhadithin”. Beliau seringkali memperingat kepada kami berkenaan tanggungjawab sebagai penuntut ilmu dan tanggungjawab sebagai seorang da`ie.


Tegas beliau, sebagai seorang penuntut ilmu kita hendaklah menguasai ilmu yang kita pelajari sebaik mungkin. Belajar sesuatu ilmu bukan bertujuan untuk mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan sahaja tetapi ia perlu diingati, diamalkan dan disebarkan. Jangan jadikan sikap seorang yang menuntut sesuatu ilmu hanya untuk peperiksaan semata-mata dan hanya untuk mendapat nama.


Sebelum peperiksaan semua hafalan masih lagi lekat di ingatan tetapi habis saja fatrah peperiksaan semua hafalan dah dilupakan. Ibaratnya masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Memang ayat Dr Mustafha kali ni agak pedas sedikit. Rasa macam terkena atas batang hidung pelajar kita sendiri termasuk diri ini. InsyaAllah sama-sama kita berazam untuk menjadi lebih baik demi Islam yang tercinta.


Tambahan lagi, Dr Mustafha selalu mengingatkan kami tentang kesungguhan dan kecekalan Imam-Imam Hadis zaman dahulu seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Tarmizi dan lain-lain. Kerana ingin mendengar satu riwayat hadis yang sahih mereka sanggup bermusafir dari satu tempat ke satu tempat yang lain walaupun jarak yang agak jauh.


Sebagai contoh dari Madinah ke Mesir dan sebagainya. Bayangkan mereka musafir bukanlah seperti zaman kita sekarang ini. Tetapi dengan berjalan kaki, menaiki kuda, menaiki unta tanpa kemudahan kapal terbang, kereta dan sebagainya. Tambah Dr Mustafha, kecekalan dan ketabahan ulamak-ulamak terdahulu haruslah kita sisipkan dalam naluri dan jiwa masing-masing. Dan kesedaran sebeginilah yang kita mahu.


Walaupun ulamak-ulamak terdahulu sentiasa sibukkan diri mereka dengan ilmu-ilmu tetapi tugas sebagai seorang daie sentiasa mereka pikul. Tidak kira dengan membentuk majlis halaqah ilmu ataupun dengan memberi pendidikan kepada masyarakat.


Dimanakah kita?


Jadi sama-samalah kita fikirkan ditahap manakah tanggungjawab kita terhadap agama dan ilmu telah terlaksana. Apakah martabat kita sudah mampu memacu kearah martabat golongan salafussoleh dalam memartabatkan syiar Islam? Apakah tugas kita sebagai penuntut ilmu Allah ni hanya bersifat sementara dan tidak memerlukan pengorbanan.


Akhir sekali tepuk dada, tanya iman. Jika kita masih lagi terkebelakang dalam isu-isu sebegini maka ayuh kita sama-sama bangkit mencari jalan penyelesaian. Semoga sinar kegemilangan Islam dan keindahan ilmu-ilmunya akan kembali menyinar ditangan-tangan kita semua. Amenn.

Monday, November 2, 2009

Salam Imtihan



Salam imtihan buat seluruh rakan-rakan dan sahabat handai yang bakal menduduki imtihan. Tidak kira yang kini berada di Universiti-universiti sekitar Jordan, IPTA/IPTS tempatan di Malaysia dan di mana-mana saja kalian berada. Semoga natijah daripada peperiksaan yang diduduki bakal menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa kita yang tercinta.

Semoga kalian semua sihat selalu dan ceria sokmo ketika menghadapi peperiksaan.

ikhlas dari saya Mohd Ruzaimy Bin Che Wan