Friday, February 27, 2009

PANDANGAN ISLAM TERHADAP REMAJA

BISMILLAH AR-RAHMAN AR-RAHIM

Remaja adalah anak-anak muda lelaki dan perempuan dalam lingkungan umur yang telah melepasi umur kanak-kanak dan mula memasuki umur dewasa, umur yang cukup untuk mendirikan rumah tangga, kerana telah baligh. Umumnya remaja ialah golongan muda yang sudah baligh hingga mencapai umur 25 tahun.

Oleh itu apabila kita membincangkan mengenai remaja masa kini, bererti kita membincangkan keruntuhan akhlak dan gejala-gejala negatif di kalangan golongan muda-mudi Islam yang sudah baligh iaitu kira-kira dua belas tahun hinggalah mencapai umur 25 tahun. Alam remaja adalah merupakan zaman keemasan dan menyeronokkan. Kehidupan yang penuh ceria dan menyukakan hati. Perubahan-perubahan dari segi jasmani dan tubuh badan akan berlaku dengan cepat dan jelas. Sifat kelelakian dan kewanitaan akan menonjol. Perkembangan jiwa, emosi dan perasaan akan menjadi subur. Keinginan hawa nafsu dan naluri kemanusiaan amat tinggi dan berpengaruh ketika itu. Pada peringkat ini proses perkembangan kecerdasan otak sedang pesat berlaku sebagai persediaan untuk mendalami dan meluaskan ilmu pengetahuan serta mengembangkan bakat dan kemahiran remaja.

Remaja juga ialah satu generasi yang sedang melalui tahap ujian dan saringan yang amat ketat dari segenap sudut, dari sudut jasmani, rohani, emosi, mental, sosial, dan keimanan. Ujian dan saringan ini tidak boleh dinafikan atau dijauhkan kerana ia memang telah menjadi fitrah Ilahi untuk memasukkan setiap insan ke dalam kancah ujian bagi menentukan orang yang berjaya dan orang yang gagal. Ujian ini akan terus sehinggalah manusia kembali kepada Allah s.w.t. Kejayaan remaja melepasi tahap ini dengan mempertahankan iman dan agama dalam amalan kehidupan harian mereka adalah satu kejayaan yang mengagumkan. Bukan saja dikagumi oleh manusia bahkan dikagumi juga oleh Allah s.w.t.

Terdapat juga pendapat beberapa orang cendekiawan Islam yang menyatakan bahawa anugerah Allah yang terbaik bagi manusia ialah zaman remajanya. Zaman remaja adalah zaman yang paling gemilang bagi setiap orang. Zaman ini juga adalah zaman yang produktif, membangun dan membina. Zaman ini adalah zaman kekuatan antara dua zaman kekuatan antara zaman kanak-kanak dan zaman tua. Kitab suci al-Quran menjelaskan perkara ini dalam ayat 54 surah al-Ruum:

Ertinya :

54. Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian dia menjadikan ( kamu ) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian dia menjadikan ( kamu ) sesudah kuat itu lemah ( kembali ) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.

Dari perkongsian hidup suami isteri maka lahirlah anak pinak dan cucu cicit yang menjadi generasi pengganti sehingga berterusanlah perkembangan manusia. Pada mulanya semasa mereka masih kanak-kanak, mereka di dalam keadaan lemah, selepas itu menjadi remaja dan belia, mereka menjadi kuat, penuh tenaga, cergas, paling produktif, aktif dan berpotensi, setelah itu perlahan-lahan dan sedikit demi sedikit kekuatan dan kecerdasan mereka berkurangan, semakin lanjut umur mereka, maka semakin susut kekuatan, tenaga dan kecerdasan mereka akhirnya mereka menjadi tua dan lemah.

Masa remaja adalah masa keemasan yang wajib dimanfaatkan sepenuhnya. Dalam hadis yang lain, iaitu hadis dari Abu hurairah r.a. dari Rasulullah s.a.w, beliau bersabda : Tujuh golongan yang dilindungi Allah di bawah lindunganNya, semasa tidak ada lindungan selain daripada lindunganNya : Imam ( pemerintah ) yang adil. Pemuda semasa mudanya beribadat kepada Allah. Orang yang menyebut ( mengingati ) Allah ketika bersendirian, lalu menitiskan air mata. Pemuda yang hatinya terpaut dengan masjid. Orang yang berkasih sayang kerana Allah. Seseorang lelaki yang digoda oleh perempuan bangsawan tetapi dia mengatakan ( menolak ) : “ Sesungguhnya saya takut kepada Allah.” Orang yang bersedekah dan disembunyikannya, sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang dibuat oleh tangan kanan.

Hadis diatas telah menjelaskan kepada kita bahawa salah seorang yang akan mendapat lindungan Allah di akhirat kelak ialah pemuda semasa mudanya sentiasa beribadat kepada Allah s.w.t dan pemuda yang hatinya terpaut dengan masjid. Adalah menjadi keistimewaan dan kelebihan bagi golongan pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah dan pemuda yang hatinya terpaut pada masjid. Keistimewaan ini tidak dikatakan oleh Rasulullah s.w.t terdapat pada golongan lain melainkan kepada pemuda saja. Jadi beruntung dan berjayalah bagi golongan remaja masa kini yang mengambil pengajaran dan intipati daripada hadis tersebut. Begitulah pentingnya zaman remaja bagi seseorang yang bergelar hamba Allah di muka bumi ini.

Di dalam hadis yang lain pula dari Ali r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda maksudnya: Diangkatkan kalam ( dosa ) dari tiga golongan, orang tertidur hingga terjaga, kanak-kanak hingga baligh, dan orang gila hingga siuman”.

Hadis ini menjelaskan bahawa kanak-kanak yang belum baligh, orang gila dan orang tidur adalah dimaafkan jika melakukan dosa kerana mereka tidak memenuhi syarat-syarat mukallaf. Di antara syarat mukallaf ialah sampai umur baligh, iaitu umur peringkat awal remaja. Ini menunjukkan betapa pentingnya peringkat remaja dan belia ini dari segi kehidupan mereka sebagai seorang Islam kerana apabila mereka baligh bererti mereka telah mukallaf dan dengan itu mereka telah dinaikkan taraf sebagai manusia yang dipertanggungjawabkan oleh agama.

Dipetik dari tesis Mohd Ruzaimy Bin Che Wan

No comments: