Friday, July 30, 2010

Ujian dan Dugaan


Kembara seorang yang dagang akan sentiasa mencari perkara-perkara baru dalam hidupnya untuk mengenal dengan lebih mendalam erti kehidupan yang sebenar. Jadikan hari ini lebih baik daripada semalam, dan hari akan datang lebih baik daripada hari ini. Itulah satu motivasi yang begitu hebat yang boleh memacu seseorang kearah lebih cemerlang dan gemilang.

Alhamdulillah, sekarang aku selamat sampai disalah satu negara yang mempunyai nilai matawang tertinggi di dunia iaitu Kuwait. Asalnya, hanya transit 6jam sahaja di Lapangan Terbang Kuwait daripada Jordan ke KLIA. Tetapi atas faktor-faktor tertentu transit kali ini telah bertukar daripada 6jam hingga kepada lebih sehari. Pada masa ni pihak penerbangan masih lagi tidak memaklumkan kepadaku bila waktu sebenar untuk berlepas ke KLIA. Kesabaranlah yang memainkan peranan penting.

Ujian di Lapangan Terbang Queen Alia Jordan ( 3.30 pm )

Kembara seorang diri memang banyak kenangan dan pengalaman. Semua perlu berdikari dan kena atasi seorang diri. Kepada sesiapa yang ingin pulang ke tanah air selepas ini, harap dapat mengambil berat berkenaan timbangan kargo yang dibenarkan kerana aku telah merasanya semalam.

Lebihan beg timbanganku adalah 10kg, dan pihak syarikat menyuruhku membayarnya sebayak JD 221.000 jika hendak dikargokan sekali. Tidak kira pekerja atau pelajar, jika hendak barang-barang itu dikargokan haruslah membayar setiap lebihan muatan. Kalu tidak mahu bayar, aku kena meninggalkan sedikit barang yang terlebih timbangan tersebut..

Apa pun terima kasih dan alfu syukr wa jazakallah kher diucapkan kepada amir dan syakir dan eid al-urduni kerana sanggup membantu. Tanpa kalian sudah pasti barang yang nak disingkirkan sebanyak 10kg akan dibiarkan di lapangan terbang sahaja dan mungkin dibagi kepada pekerja arab. Mustahil, aku akan membayar wang dengan jumlah yang banyak itu. Jadi barang-barang lebihan itu terpaksa di bawa balik ke Mu`tah. Maaf kepada mereka yang mengirimnya.

Setelah semua urusan selesai. Tepat pukul 4.00pm aku berlepas ke Kuwait dan tiba di Kuwait pukul 6.00pm. Transit yang untuk kali kedua di Kuwait. Setelah hampir 6 jam menunggu untuk menaiki penerbangan seterusnya ke KLIA, petugas Kuwait Airliness memaklumkan kepadaku, yang aku kena bermalam di Kuwait. Sekali lagi ujian yang perlu dihadapi dengan tabah.

Kepenatan menunggu semakin bertambah. Tetapi mujurlah bersamaku pada masa ini ada sekumpulan pelajar perubatan di Iskandariyah, Mesir yang turut menghadapi perkara yang sama. Jadi adalah juga peneman buat seketika.

Alhamdulillah. Ala kulli hal, mungkin semua ini ada hikmah bagiku. Sekurang-kurangnya aku dapat kenal dan masuk ke negara Kuwait dan diberi penginapan percuma di Four Points Sheraton Hotel. Memang satu pengalaman baru yang sentiasa dicari-carikan. Cuma sedikit kurang selesa keadaan di Kuwait ketika ini terlalu panas mencecah 45`c dan berangin panas. Bagiku semua itu lumrah kehidupan. Memang berbeza dengan kepanasan di Jordan dan Syria.

Khutbah Jumaat berhampiran Sheraton Hotel

Alhamdulillah sekali lagi dan sentiasalah kita kena mengingatiNya dan memujiNya. Aku sempat solat jumaat di salah satu masjid yang berhampiran dengan hotel. Khutbah disini mujurlah dalam bahasa arab fushah .

Terujanya di sini, ada salah satu masjid khutbahnya adalah dalam bahasa Urdu walaupun Kuwait adalah negara Arab. Sebagaimana dikhabarkan kepadaku oleh pegawai hotel. Memang tidak pernah lagi aku menjumpainya kecuali di Masjid India.

Perkara ajaib pada pandanganku

Salah satu yang ajaib lagi. Agak susah untuk berjumpa dengan penduduk Arab Kuwait dan ingin berborak dalam bahasa Arab di sini kerana keadaan macam tidak mengizinkan. Mungkin masyarakat arab pada musim panas ni lebih suka berada di rumah agaknya. Aku merasakan aku bukan berada di Tanah Arab. Tetapi di negara yang terlalu asing dari masyarakat Arab.

Cukuplah dahulu cerita dari Kuwait. Tengah menunggu pemberitahuan waktu penerbangan ke KLIA. Doakan aku selamat sampai tanah air dan sempat jumpa kedua ibubapaku sebelum mereka berangkat ke tanah suci 2hb Ogos nanti



Bendera Kuwait

Try agak taman macam ni dan wanita memakai sari selalunya di negara mana?


syabab-syabab kuwait...di mana kamu..ke dah bertukar rupa..

iklan dalam bahasa Arab tetapi...yang ada perhentian siapa ye?

Thursday, July 29, 2010

Doakan Kepulanganku

Esok dalam sejarah. Terdetik rasa kesedihan untuk meninggalkan tanah syam buat kali pertama setelah setahun setengah merantau di bumi penuh barakah ini. Sudah pasti akan aku merindui tanah ini dan penghuninya dengan meninggalkannya selama 2 bulan lebih. Tanah Syam yang telah kulalui ( bumi Syria dan Jordan ) sudah pasti kenangan selama setahun setengah bersama mu akan meninggalkan kesan yang mendalam dalam hidupku. Semoga berkat para sahabat Rasulullah s.a.w dan para aulia akan terus terlekat pada diri yang serba kekurangan ini.

Dahulu datang berempat, tetapi kali ini aku berseorangan pulang ke tanah air. Tetapi aku tidak kisah pada semua itu, kerana jalan ini telah kupilih. Hidup mesti diteruskan dan misi perlu dicapai. Maaf kepada sahabat-sahabat lain kerana jalan ini telah ku pilih. Walau apa pun hidup perlu diteruskan.

Bersama kamu semua ( buat sahabat-sahabat seJordan ), aku dapat mengenal yang mana betul-betul sahabat yang memahami dan mana yang hanya berkepentingan sesuatu. Yang pasti persahabatan ini haruslah didahului dengan menjangkaui sempadan fikrah dan haruslah ada pengorbanan selagi mana tidak melanggar syarak. Di situlah akan bertemunya kemanisan dan nikmatnya bersaudara.

Jika aku terpesong maka nasihati dan tegurlah diri ini yang memang serba kekurangan.

Pengalaman pada cuti saifi kali ini memang terlalu manis bagiku. Rehlah Ilmi ke Syria selama sebulan lebih terlalu banyak memberi pengajaran dan erti hidup yang sebenar. Aku terlalu jauh berbanding mereka-mereka di sana jika dibandingkan juhud dalam mencari ilmu. Aku memang iri hati dengan kamu semua yang berada di sana. Yang pasti, terima kasih yang tidak terhingga kepada Fathulrahman, Turmizi, Abdul Rahman, Khairul Nikmat, Halimie, Hassan, Tarmizi, Mamat, Mujahid, Abdullah Nasib kerana telah banyak menyusahkan kalian semua.

Tidak lupa kepada ahli bayt Malizi, Alfu Syukr.

Ada rezeki, InsyaAllah akan ku tuliskan cerita-ceritaku semasa rehlah Ilmi di Syria. Semoga diberi kekuatan

Semoga kepulanganku kali ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Jangan lupa doakan diri ini. Seribu kemaafan dipinta jika ada kesalahan yang telah dilakukan samada secara terang-terangan atau sembunyi-sembunyi. Semoga Allah merahmati kalian semua.

SEMOGA KETENANGAN AKAN KITA KECAPI

Tuesday, July 27, 2010

Izinkanku Terus Menulis

Hampir setahun setengah aku berada di perantauan menjadi seorang yang dagang. Dagang yang akan sentiasa dagang dan mengharapkan tidak akan berakhir sifat dagang ini. Dua bulan lepas aku nekad tidak mahu menulis sebarang bentuk artikel ataupun jurnal kehidupan mahupun catatan harian, tetapi atas faktor-faktor tertentu aku merasakan aku sudah tersalah memilih jalan.

Barulah sekarang aku sedar dari lamunan itu, segala-galanya akan bermula dengan tulisan. Hanya dengan tulisan segala-galanya akan berubah. Hanya dengan tulisan, jatuh bangun sebuah negara. Hanya dengan tulisan masyarakat akan berubah. Aku ingin ke arah itu walaupun aku masih lagi mentah. Doakan aku.

Biarlah tulisan ini tidak seberapa, namun mungkin ia dapat melatih aku untuk bertatih kembali menaikkan semangatku menceburkan diri dalam bidang penulisan. Tidak dapat tidak, kita perlu buat apa yang kita suka, baru dunia itu menjadi milik kita. Tetapi, dengan syarat haruslah Allah dan rasulnya menjadi panduan.

InsyaAllah, kali ini adalah muqaddimah penulisanku untuk hayat yang baru. Terima kasih kepadamu kerana telah mengejutkan aku dari dunia khayalan yang sementara. Akan ku kejar hayat yang hakiki yang sentiasa mempunyai keadilan yang telus di situ. Permudahkan Ya Allah. Amenn Ya Rabb.

BUAT APA YANG KITA SUKA, BARU TENANG DAN GEMBIRA TETAPI DENGAN SYARAT HARUSLAH ALLAH DAN RASULNYA MENJADI PANDUAN.