Friday, November 20, 2009

Perjuangan Kita Masih Jauh

Sebelum memanjangkan pena. Saya ingin mendoakan semua sahabat-sahabat yang telah berangkat ke Mekah bagi menunaikan ibadat haji semoga mendapat haji yang mabrur serta selamat pergi dan kembali semula. Semoga kepulangan kalian semua bakal membawa perubahan di bumi Mu`tah dan Jordan.


Saya cukup terkesan dengan kata-kata Dr Syuweih seorang pakar dalam bidang ilmu Fiqh Muaasarah dan Dr Mustafha Abu Zaid seorang yang berjiwa haraki dalam diri beliau. Kedua-duanya merupakan pensyarah di Jabatan Kuliyyah Syariah, Universiti Mu`tah, Jordan.


Kata-kata pencetus.


Kata-kata Dr Syuweih pada malam muqadimah pembacaan kitab Musirah al-fiqhul islami al- muaasir wa maalamahahu” kitab karangan beliau sendiri. Beliau telah menimbulkan tanda tanya kepada semua pelajar yang ada pada malam tersebut apakah kita sekarang ni berada dalam keadaan selamat. Apakah agama Islam sudah berada ditempat yang sebetul-betul hak baginya dan yang selayak bagi kesucian agama tersebut. Apakah pengamalan masyarakat kita terhadap hukum-hukum Islam sudah lengkap dan tidak ada istilah berpegang dengan hukum buatan sendiri. Dengan kata lain, menggunakan hukum mengikut kehendak hawa nafsu manusia.


Beliau telah membawa contoh yang mudah. Apakah ada beza bandar kuala lumpur yang majoriti masyarakatnya Islam (dan Malaysia kini di iktiraf sebagai “negara Islam”) dengan ibu bandar negara-negara yang diperintah oleh golongan kafir seperti New York, Bangkok dan sebagainya? Sedangkan minum arak, pelacuran, pergaulan bebas, zina masih lagi berleluasa di kalangan masyarakat Islam sendiri tidak kira di mana-mana negara Islam yang lain.


Beliau juga telah membawa satu lagi contoh. Andaikata Nabi Muhammad s.a.w datang kepada umatnya pada zaman kini (hari ini) dan baginda masuk ke dalam masjid pada waktu solat fardhu. Apakah reaksi baginda terhadap jemaah kita pada waktu tersebut. Dengan saf-saf yang masih lagi banyak kekosongan yang patut diisi oleh umatnya. Dengan solat umatnya yang masih lagi tunggang langgang. Saya yakin dan pasti bahawa nabi Muhammad s.a.w akan bersedih dengan hakikat dan masalah yang berlaku ke atas umatnya pada hari ini.


Beliau turut membawa contoh lain untuk mempersoalkan kepada kami semua. Berkaitan perihal di mana letaknya Islam sebenarnya pada zaman kini. Beliau menceritakan yang Tunisia merupakan satu negara yang diiktiraf sebagai negara Islam tetapi menegah poligami. Sehinggakan mereka yang berkahwin lebih dari 1 akan dikenakan denda. Manakala masjid-masjid di sekitar tanah arab pula hanya dibuka pada waktu solat sahaja. Sedangkan pada waktu selainnya pintu masjid dikunci rapat. Sehingga kita nampak fungsi masjid hanyalah menjadi tempat solat semata. Inikah dinamakan negara Islam. Sedangkan Islam tidak menghalang membuat kepada perkara kebaikan.


Nasihat dari seorang Murabbi


Manakala kata-kata nasihat Dr Mustafa Abu Zaid dalam kelas “ manahij muhadithin”. Beliau seringkali memperingat kepada kami berkenaan tanggungjawab sebagai penuntut ilmu dan tanggungjawab sebagai seorang da`ie.


Tegas beliau, sebagai seorang penuntut ilmu kita hendaklah menguasai ilmu yang kita pelajari sebaik mungkin. Belajar sesuatu ilmu bukan bertujuan untuk mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan sahaja tetapi ia perlu diingati, diamalkan dan disebarkan. Jangan jadikan sikap seorang yang menuntut sesuatu ilmu hanya untuk peperiksaan semata-mata dan hanya untuk mendapat nama.


Sebelum peperiksaan semua hafalan masih lagi lekat di ingatan tetapi habis saja fatrah peperiksaan semua hafalan dah dilupakan. Ibaratnya masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Memang ayat Dr Mustafha kali ni agak pedas sedikit. Rasa macam terkena atas batang hidung pelajar kita sendiri termasuk diri ini. InsyaAllah sama-sama kita berazam untuk menjadi lebih baik demi Islam yang tercinta.


Tambahan lagi, Dr Mustafha selalu mengingatkan kami tentang kesungguhan dan kecekalan Imam-Imam Hadis zaman dahulu seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Tarmizi dan lain-lain. Kerana ingin mendengar satu riwayat hadis yang sahih mereka sanggup bermusafir dari satu tempat ke satu tempat yang lain walaupun jarak yang agak jauh.


Sebagai contoh dari Madinah ke Mesir dan sebagainya. Bayangkan mereka musafir bukanlah seperti zaman kita sekarang ini. Tetapi dengan berjalan kaki, menaiki kuda, menaiki unta tanpa kemudahan kapal terbang, kereta dan sebagainya. Tambah Dr Mustafha, kecekalan dan ketabahan ulamak-ulamak terdahulu haruslah kita sisipkan dalam naluri dan jiwa masing-masing. Dan kesedaran sebeginilah yang kita mahu.


Walaupun ulamak-ulamak terdahulu sentiasa sibukkan diri mereka dengan ilmu-ilmu tetapi tugas sebagai seorang daie sentiasa mereka pikul. Tidak kira dengan membentuk majlis halaqah ilmu ataupun dengan memberi pendidikan kepada masyarakat.


Dimanakah kita?


Jadi sama-samalah kita fikirkan ditahap manakah tanggungjawab kita terhadap agama dan ilmu telah terlaksana. Apakah martabat kita sudah mampu memacu kearah martabat golongan salafussoleh dalam memartabatkan syiar Islam? Apakah tugas kita sebagai penuntut ilmu Allah ni hanya bersifat sementara dan tidak memerlukan pengorbanan.


Akhir sekali tepuk dada, tanya iman. Jika kita masih lagi terkebelakang dalam isu-isu sebegini maka ayuh kita sama-sama bangkit mencari jalan penyelesaian. Semoga sinar kegemilangan Islam dan keindahan ilmu-ilmunya akan kembali menyinar ditangan-tangan kita semua. Amenn.

No comments: