Sunday, November 22, 2009

Sedikit Perihal Tentang Aurat

Syukur alhamdulillah, semoga artikel ini boleh memberi kesedaran kepada kita semua termasuk diri ini. Mungkin kita boleh meningkatkan lagi kefahaman tentang perihal kepentingan menjaga aurat dengan membilik kitab-kitab muktabar @ rujukan-rujukan lain. Artikel ini hanyalah sebahagian dari juzuk-juzuk yang kecil jika hendak dibandingkan dengan rujukan lain. Tidak ada yang diharapkan oleh pencetus artikel ini, selain redha Allah s.w.t. Semoga kita semua dapat ambil iktibar.


Tentang persoalan-persaolan yang dibangkitkan daripada pembaca pada artikel yang lepas. Izinkan saya menjawab serba sedikit sebagaimana ilmu saya yang masih lagi cetek. Mungkin jawapan saya tidak akan memuaskan hati pembaca. Tetapi ia sekadar berkongsi pandangan. InsyaAllah jawapan ini berdasarkan mazhab syafie dan mengikut pemahaman saya sendiri.


Tentang isu apakah melihat aurat sesama sendiri seperti lelaki melihat aurat lelaki dan perempuan melihat aurat perempuan di haramkan?


Jawapan : Ia memang diharamkan mengikut maksud riwayat hadis. Dalam hadith sahih yang menerangkan bahawa, lelaki tidak boleh melihat aurat sesama lelaki dan begitu juga bagi wanita juga tidak boleh melihat aurat sesama wanita. Hadith riwayat Abu Sa’id Al-Khudri , yang menurut muslim, Abu Daud dan At-Tarmizi lafaznya berbunyi : “Janganlah hendaknya lelaki melihat aurat lelaki lain dan wanita melihat aurat wanita lain. Dan jangan lelaki tidur satu selimut dengan lelaki lain dan wanita tidur satu selimut dengan wanita lain..”


Soalan tentang apakah tidak boleh memakai pakaian bercorak, baju berbunga-bunga atau baju berkilau.


Jawapan : Saya suka memasukkan isu ini dalam masalah berhias. Andaikata dengan berpakaian sebegini berniatkan untuk berhias dan ingin menarik perhatian sang teruna ataupun mana-mana lelaki maka saya nasihatkan supaya latihkan diri untuk menjauhi perkara sebegini. Kerana telah datang banyak ayat- ayat daripada Allah s.w.t antaranya bermaksud


“Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan jangan menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, putera-putera lelaki mereka, atau puteraputera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang ‘aurat wanita. Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (al-Nur-31)


Allah telah berfirman yang bermaksud:“Janganlah menampakkan perhiasan”(al-Nur: 31). Dengan ini jelas bahawa sebarang corak perhiasan di anggota badan atau di pakaian, adalah boleh membawa fitnah. Dengan inilah Allah melarang bermake-up. Larangan seperti ini hanya sanggup ditaati oleh wanita-wanita yang beriman sahaja kerana takut kepada kemurkaan Allah dan siksaan dariNya. Pengertian perhiasan bukanlah terhad pada alat-alat solek atau fesyen-fesyen pakaian sahaja, malahan perhiasan yang paling istemewa adalah terletak pada tubuh badan seseorang wanita itu.


Isu lain. Macam mana hukum menunjukkan gambar kita waktu kanak-kanak dimana gambar tersebut dalam keadaan tidak menutup aurat.


Jawapan : Secara logik akal ia tidak menjadi masalah jika gambar tersebut tidak menaikkan syhwat hawa nafsu. Ini berdasarkan sebab gambar tersebut di ambil ketika masih lagi belum baligh. Maka suruhan untuk menjaga aurat masih lagi tidak ditaklifkan atas mereka yang masih belum baligh. Andaikata ia boleh menaikkan hawa nafsu dan syahwat jika gambar itu dilihat maka hukumnya adalah haram berdasarkan sebab boleh mendatangkan keburukan. Di sini saya mengambil jalan tengah atau dengar kata lain dengan jalan berhati-hati demi menjaga kemaslahatan iaitu dengan menyimpan semua gambar-gambar yang tidak menutup aurat kerana ia boleh memberi keaiban kepada kita sendiri jika ada orang melihatnya.


Isu tentang hukum batasan aurat seorang Islam dengan bukan Islam.


Jawapan : Aurat perempuan Islam dengan perempuan bukan Islam sama dengan aurat perempuan Islam dengan lelaki bukan muhrim yang Islam. Iaitu muka dan telapak tangan. Diceritakan Ubadah bin Nusayy berkata,”Umar telah menulis surat kepada Abu Ubaidah bin Al-Jarah, bahwa perempuan-perempuan Ahludz-Dzimmah (kafir yang ada perlindungan Islam) masuk ke tempat mandi bersama perempuan-perempuan muslimah! Cegahlah mereka agar tidak berbuat seperti itu dan halal selain itu., karena sesungguhnya perempuan kafir tidak boleh melihat aurat perempuan muslimah. Tafsir Ash-Shobunu.


Isu tentang membuka aurat dihadapan kanak-kanak.


Jawapan : Bagi saya, apakah sudi kalian semua membuka aurat di hadapan mereka. Dengan menampakkan aurat-aurat yang tidak terjaga. Sedangkan kita sudah memahami apa itu hukum membuka aurat. Maka di sini kita boleh menjadi contoh kepada-kepada kanak-kanak tersebut dengan sentiasa menjaga aurat walaupun sekecil-kecil perkara. Masa inilah uslub dakwah dengan memberi contoh tauladan yang baik perlu dipraktikkan. Semoga kanak-kanak itu sentiasa menjaga batasan aurat bilamana mereka baligh.


Andaikata ia diperbolehkan maka saya mengambil pendekatan ia adalah perkara yang diperbolehkan kepada orang biasa dan satu keaiban kepada seseorang yang arif kepada hukum hakam dalam Islam terutama yang sudah arif dalam bab munutup aurat.


Semoga usaha ini dapat memberi sedikit istifadhah dan pengajaran kepada semua pembaca.

No comments: