Tiada erti sebuah keyakinan tanpa disertakan amalan,
Tiada erti sebuah akidah jika ia tidak mampu membawa manusia untuk merealisasikan dan berkorban deminya.
kenangan bersama Ustaz Zamri Zainudin " mari mengaji"
sebelum majlis konvo kali 17 berlangsung
Konvokesyen Darul Quran Kali ke 18
Tahniah dan syabas ditujukan kepada semua graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian di Darul Quran, samada graduan dari program Diploma Tahfiz al-Quran wal Qiraat, Diploma Tahfiz al-Quran wal dakwah dan program Persijilan Tahfiz al-Quran.
Kepada semua sahabat-sahabat yang diraikan, diri ini memohon beribu-ribu kemaafan kerana tidak dapat menghadirkan diri ke majlis yang begitu bermakna buat kalian. Yang pasti walaupun jasad diri ini berada jauh dari bumi Malaysia tercinta, tetapi anggaplah, ruhku dan fikiranku sentiasa berada di sisi kalian.
Tahniah dan syabas sekali lagi ku ucapkan kepada kalian.
Bagi sahabat-sahabat DQ yang mengenali aku terutama batch diploma 05/08 dan lain-lain batch, di kala ini hatiku rasa begitu sayu, begitu rindu untuk kembali bersama kamu semua walaupun sekejap. Cukuplah dengan bertanya khabar, ia sudah memadai bagiku kalau kita semua diberi kesempatan untuk bersua muka. Kerinduan pada kali ini hanya Allah yang tahu.
Kalaulah boleh masa ini dipusingkan balik, semestinya waktu bergelar pelajar DQ akan ku pilih. Begitu banyak kenangan pahit dan manis telah tercatat dalam diari kehidupan DQku.
Masih ingat lagikah kalian istilah “Padang Belakang” dikalangan kita tempat Serol dan Fikri menunjukkan skill-skill pelik? Masih ingat lagikah kalian dengan Kelas Duri kelas yang paling cool? Masih ingat lagikah kalian kata-kata ini “ budu wuma` zaujun samak ma`a ulam” menyebabkan semua pelajar bukan Kelantan terkial-kial mencari maknanya. Masih ingat lagikah kalian dengan Jeti tempat kita buat terjun pacak dan lipatan samsok? Masih ingat lagikah tempat paling belakang di penjuru kiri masjid DQ port kita berbincang masalah umat (betul ke ni)? Masih ingat lagikah kalian dengan tarannum Pali Norzlan dan Pak Lah yang begitu mendayu-dayu semasa kelas qiraat bersama Ustaz Jalal.
Banyak lagi kalu nak disebutkan di sini, cukuplah dengan apa yang diceritakan. Yang pasti segala kenangan-kenangan ini akan sentiasa tersemat di memori kita masing-masing. Hanya pelajar-pelajar yang pernah bergelar pelajar DQ saja yang akan merasinya. Tidak kira kita di campak kemana pun, bagiku DQ tetap di hati.
Semoga moto “ KERANA ALLAH TERCINTA, AL-QURAN TERSEMAT DI DADA” yang pernah kita bersama lafazkan menjadi sumber inspirasi dan mampu menaikkan semangat untuk menjaga al-Quran yang telah kita khatamkan 30 juz secara hifz. Jagalah amanah yang telah kita perolehi ini.
*iklan yang simple. *harap sampai la maksud yang ingin saya sampaikan. *saya memang tak pandai buat benda-benda camni. InsyAllah dalam proses belajar untuk memahirkan diri.
Alhamdulillah, segala bentuk pujian dan kesyukuran kupanjatkan kepada Allah s.w.t.
Hari ini, bertarikh 6 Julai 2009 berakhirlah kelas pengajianku di Universiti Mu`tah untuk fasal saifi tahun ini. Bermakna sudah lengkap 1 sem panjang ( fasal thani) dan satu sem pendek ( fasal saifi ) telah ku lalui sepanjang menjadi tetamu dataran Syam.
Berakhirnya kelas pengajian tidak semestinya kami boleh berehat, tapi ini menandakan musim peperiksaan akan tiba. Jadi, kepada semua yang bakal-bakal menduduki final exam tak lama lagi (untuk yang tak kena mabsul oleh doktor) pulunlah habis-habisan madah untuk diulang kaji. (Jangan dok asyik nak tidur dan rehat aje). Bagiku, tiada hadiah yang paling bernilai dan berharga untuk ibubapa kita kecuali dengan memperolehi kejayaan cemerlang dalam pembelajaran.
Selamat menempuh final exam kepada seluruh pelajar Mu`tah.
Suka di sini untuk aku berkongsi nasihat yang telah diberikan pensyarah kepada kami semasa kelas pengajian terakhir serta sedikit coretan pengalaman bersama dengan mereka.
Nasihat dari Dr Mustafha Abu Zaid, pensyarah madah Sirah Nabawiyyah telah berpesan kepada kami “ Kamu mesti berani! pemuda mesti berani! pemudi mesti berani! Berani menegakkan syiar Islam serta mampu membawa manusia kembali kepada manhaj Islam yang syumul untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Samada dari segi politik, pentadbiran, pertahanan, ekonomi dan sebagainya. Kamulah tentera-tentera Allah. Ingatlah, tentera Allah tidak boleh lemah dan kamulah yang dipertanggungjawabkan untuk memelihara kesucian Islam itu sendiri.”Semoga fikrahmu doktor tertusuk dalam sanubariku.
Nasihat dari Dr Abd Raud pensyarah madah Akidah. Sebenarnya susah bagiku untuk memahami percakapan beliau kerana lahjahnya dengan menggunakan bahasa pasar ( lahjah Karaki). Tetapi aku menafsirkan untuk diriku sendiri bahawa nasihat beliau pada kali terakhir “ sebarkanlah segala ilmu atau maklumat yang kamu perolehi dalam kelas pengajianku ini.” InsyAllah doktor, itulah antara cita-citaku yang ingin ku lakukan .
Nasihat dari Dr Ahmad Zu`bi, pensyarah madah Bahasa Arab Fakulti Bahasa. Setiap kali kelas pengajian mesti banyak kata-kata hikmah dan nasihat akan keluar dari mulut beliau. Aku cukup respek kepada beliau, setiap kata-kata yang dikeluarkan akan disertakan dengan dalil al-Quran dan hadis sama seperti pensyarah Fakulti Syariah. Beliau selalu mempersoalkanseseorang yang merokok. Beliau juga cukup menitik beratkan soal akhlak di kalangan kami supaya kami senantiasa bersifat dengan akhlak yang mulia.
Dr Jamel, pensyarahku bagi madah Tarikh Askari pada fasal saifi dan madah Ulum Askari bagi fasal thani yang lepas. Puratanya, banyak yang tak faham semasa belajar dengan beliau kerana masalah kemahiran berbahasa Arab ( lahjah Karaki). Walaupun belajar pasal ketenteraan, tapi ayat al-Quran dan hadis nabi sentiasa bermain di mulut beliau. Beliau juga selalu menasihati kami supaya sentiasa bermuamalat dengan pelajar Arab jika mahu memantapkan lagi percakapan bahasa Arab.
Semoga nasihat-nasihat ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada diriku sendiri.
Hari ini berlalu seperti hari-hari yang lepas, masih lagi menjadi mustami`(pendengar) yang tetap dalam kelas pengajian. Ada yang faham dan ada yang tak faham bila doktor bersyarah di hadapan kami. Jika doktor mengajar berpandukan kitab. Alhamdulillah, boleh dipertimbangkan, dan peratus kefahaman yang diperolehi taklah teruk sangat. Tetapi, selalunya dahi akan berkerut untuk memahami syarahan doktor lebih-lebih lagi doktor yang bercakap bahasa Arab Pasar. Memang penat dan letih untuk memahaminya.
Perasaanku cukup iri hati bila melihat sahabat-sahabat lain selalu bermusyarakah ( bersoal jawab ) dengan pensyarah di dalam kelas. Jika ada persoalan atau kekeliruan berkenaan sesuatu tajuk, mereka terus bertanya dengan pensyarah dengan kefasihan bertutur dalam bahasa Arab yang mantap lagi kemas. Sedih betul hati ini kerana masih lagi belum mampu untuk sekapal dengan mereka yang selalu bermusyarakah. Bilalah tibanya masa untuk aku bersoal jawab dengan doktor?
Kadang-kadang, rasa kagum juga tengok pelajar-pelajar Arab yang tidak takut dan segan bersoal jawab dengan doktor . Jika soalan diajukan kepada mereka, pantas mereka menjawabnya dengan yakin walaupun jawapan itu salah. Inilah kelebihan pelajar Arab berbanding pelajar kita kerana mereka sentiasa bersifat berani dan yakin. Tetapi, tidak dinafikan pelajar kita pun ada yang seperti mereka, malah ada yang lebih baik dari pelajar arab dan mendapat kepujian dari kebanyakan doktor.
Teringat kata-kata semangat Dr Mustapha Abu Zaid sewaktu pengajian Sirah Nabawiyyah yang ditujukan kepada kami “ Kamu kena kuat! kamu kena berani! Contohilah para sahabat yang mana ketika mudanya telah dipertanggungjawabkan dengan tugasan yang berat. Seperti Mus`ab bin Umair, utusan Rasulullah s.a.w untuk mengajar ajaran Islam kepada penduduk Madinah. Dan ramai lagi antara para sahabat yang waktu muda mereka dihabiskan untuk Islam. Mereka semua berani dan kuat serta berjiwa pejuang. Kamu wajib contohi mereka. Kamulah yang akan memimpin masyarakat kamu bila kamu pulang tanah air kamu nanti. Kamu tidak boleh menjdai pengecut. Jadi, belajarlah dan tambahlah segala-gala ilmu di sini dan janganlah kamu menjadi orang-orang bingung bila pulang ke tanah air kamu nanti.”
Terima kasih doktor dengan kata-kata semangat itu. Moga ia menjadi pendorong kepada kami untuk sentiasa mengislahkan diri dan meningkatkan tahap ilmuan kami
Teringat juga kata-kata Ustaz Yusry Mazlan bekas guru tasmik kelasku di Darul Quran. Semasa hari jamuan perpisahan dengan anak-anak kelas tasmiknya, beliau telah berpesan “ sebelum pergi belajar di tanah arab, kemaskanlah ilmu bahasa arab seperti nahu sorof. Kalu berkaitan ilmu fiqh dengan tauhid, paling elok khatamkanlah dulu kitab-kitab yang rendah ni seperti kitab fathul qarib dan matan jauharah. Kalau tak, jadi masalah untuk kita nanti, kalau kat sana baru nak pulun. Kita ke sana bukan baru nak mencari tapi untuk menambah ilmu ke peringkat lebih tinggi. Kalau baru nak mencari memang tak cukup dalam masa 3-4 tahun ni, silap hari bulan dah berani nak menghukum seseorang yang dah lama belajar dari kita dan dia lebih alim dari kita.”
Terima kasih ustaz atas nasihat yang diberikan. Baru kurasai setengah dari kesusahan itu. Doakan anak muridmu ini supaya tidak menjadi seseorang yang suka menghukum orang lain dan Allah permudahkan segala urusanku di sini. Ana bangga menjadi anak murid ustaz.
Buat adik-adikku dan sesiapa saja yang berhasrat untuk menyambung belajar ke Timur Tengah aku nasihatkan kamu supaya persiapkan diri dengan mendalami ilmu bahasa arab dan perkemaskan lagi serta mantapkan ilmu yang telah sedia ada. Dengan demikian ia akan memudahkan kamu untuk menghadapi perjalanan sebagai seorang yang dahagakan ilmu. InsyaAllah semuanya akan senang bila kita sudah mahir dengan bahasa arab, kaedah nahu sorof dan cabangnya sebelum menjejak kaki di sini.
Kali ini diriku rasa terpanggil untuk menjelaskan perihal satu masalah yang dipandang biasa oleh kebanyakan remaja. Firasatku mengatakan bahawa semua remaja yang sudah baligh, berakal dan berpendidikan begitu makruf dan memahami situasi ini lebih-lebih lagi jika individu tersebut pernah belajar tentang hukum hakam dalam Islam, pernah mengambil subjek agama Islam dan dan jika beliau memang antara seseorang yang mendalami ilmu Islam.
Yang sedihnya, golongan yang memahami inilah yang telah melakukan perkara tersebut tanpa segan silu dan tak tahu malu dengan membuka aurat di khalayak ramai. Tidak kira remaja lelaki ataupun wanita, semuanya dikira sama jika aurat mereka masih tidak terjaga. Mungkin mereka masih kabur lagi dalam masalah sebegini sehingga permasalahan ini dipandang sebagai perkara biasa. Contohnya, berseluar pendek, berbaju ketat dan sebagainya.
Apa itu aurat?
Aurat adalah suatu kehormatan diri bagi seseorang, yang wajib dijaga dan dipelihara sepanjang masa. Walau di dalam apa jua keadaan, menjadi kewajipan ke atas umat Islam menutup aurat. Definisi lain ialah sesuatu yang tidak dibenarkan wanita mempersembahkannya di hadapan lelaki ajnabi ataupun sebaliknya.
Dalil-dalil berkenaan penjagaan aurat :
Maksud ayat al-Quran,
Wahai anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah dan berhias pada tiap-tiap kali kamu pergi tempat ibadat ( masjid ) dan makan serta minumlah. Dan jangan kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas. (al-A`raaf 7:31)
Rasulullah saw bersabda:
“Aurat mukmin terhadap mukmin yang lain adalah haram.” (Hadith Riwayat Aththahawi)
“Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau budak(hamba) wanita yang kamu miliki. Aku bertanya, ‘Ya Rasulullah, bagaimana kalau dia sedang bersendirian?’ Nabi saw menjawab, “Allah lebih berhak (patut) kamu berasa malu.” (Hadith Riwayat Bukhari)
“Jika seorang anak wanita telah mencapai usia baligh, tidak pantas terlihat darinya selain wajah dan kedua telapak tangannya sampai bahagian pergelangannya.” (Hadith Riwayat Imam Abu Daud daripada Qatadah)
Jadi berdasarkan dali-dalil di atas menjadi kewajipan ke atas kita menjaga aurat,Maka hukum di sini jika kita membukanya adalah haram dan ditegah dalam agama. Kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu contohnya untuk perubatan. Orang-orang yang suka mendedah aurat mereka pasti akan di azabkan dengan azab yang pedih di akhirat kelak
Batasan-batasan aurat :
A.Aurat di khalayak awam
1 Aurat lelaki di khalayak ramai ialah antara pusat dan lutut. Namun begitu dia dilarang keluar rumah seperti ke pejabat atau pasar hanya dengan menutup bahagian itu kerana nilai adab turut dihormati oleh Islam dalam pembinaan syarak
2. Aurat perempuan di khalayak ramai ialah seluruh tubuh badan, kecuali muka dan dua tapak tangan. Namun jika wajah yang dimilikinya sangat cantik, sehinggakan menimbul fitnah, wajib ditutup wajahnya.
B.Aurat dengan ahli keluarga
1. Aurat Lelaki, antara pusat dan lutut
2. Aurat perempuan, antara pusat dan lutut
C.Aurat sesama jenis (dengan syarat tiada fitnah)
1.Aurat Lelaki dengan lelaki, antara pusat dan lutut
2.Aurat perempuan dengan perempuan, antara pusat dan lutut
*Jika menimbulkan fitnah wajib ditutup seluruh tubuh badan.
D.Aurat ketika berkhalwat di dalam bilik (sunyi dari pandangan)
1.Aurat lelaki, antara pusat dan lutut dan setengah ulama berpendapat hanya dua kemaluan yang wajib ditutup.
2. Aurat perempuan, antara pusat dan lutut
Etika menutup aurat
1.Berpakaian mengikut garisan syarak, yang mana mesti menutup aurat. Aurat bagi lelaki ialah antara pusat hingga ke lutut. Bagi perempuan ialah seluruh tubuh badannya, kecuali muka dan kedua tangan hingga ke pergelangannya. Aurat ini wajib ditutupi dari pandangan penglihatan manusia umum. Haram diperlihat dan haram melihatnya
2.Tidak menyerupai dengan kaum yang engkar kepada Allah. Seperti pakaian ahli gereja, ahli ibadat agama lain atau pakaian yang menjadi symbol kepada ahli kemungkaran, seperti ahli muzik, pelacur dan sebagainya.
3. Pakaian yang dipakai mestilah menutup susuk tubuh badan. Iaitu pakaian yang longgar dengan kesesuaian tubuh badan. Pakaian yang ketat atau sendat, tetap haram sekalipun pada zahir ia telah menutup aurat. Ia adalah kerana susuk tubuh badan merupakan aurat yang perlu dijaga.
4. Pakaian yang tidak bercorak atau berwarna-warni, yang ada daya penggamit pandangan.
Hukum melihat aurat
Haram bagi seseorang melihat kepada aurat orang lain sekalipun sesama jenis, seperti melihat seorang lelaki kepada aurat seorang lelaki dan perempuan melihat aurat perempuan. Lebih berat lagi jika memandang kepada aurat yang berlainan jenis seperti seorang lelaki melihat kepada aurat perempuan dan sebaliknya. Semua aurat haram dilihat sekalipun seurat rambut perempuan yang telah tercabut dari tuan empunyanya. Apatah lagi melihat kepada artis perempuan masa kini
Dimaafkan jika terlihat sekilas pandangan sahaja, tanpa memakukan pandangan ke tempat haram tersebut atau mengikuti pandangan pertama dengan pandangan kedua
Namun jika melihat kepada aurat sendiri ia dimakruhkan, samada seorang lelaki ataupun perempuan. Makruh juga membuka aurat di tempat yang sunyi dari pandangan manusia seperti di dalam bilik secara bersendirian.
Jika terpaksa, seperti perubatan, harus bagi seorang ahli perubatan sesama jenis dengan pesakit melihat kepada aurat pesakit tersebut, tanpa ada mahram yang menemani. Seperti ahli perubatan perempuan melihat kepada aurat pesakit perempuan dan sebaliknya.
Jika ahli perubatan berlainan jenis dengan pesakit, seperti ahli perubatan lelaki dan pesakit perempuan, diwajibkan ada bersama mahram yang menemani dan dengan syarat tiadanya ahli perubatan perempuan di sana. Ketika ini, haruslah melihat kepada aurat pesakit tersebut.
Akhir sekali.
Telah menjadi kewajipan kita semua untuk menegah segala kemungkaran mengikut kemampuan kita masing-masing. Dan kewajipan ke atas kita juga untuk bersama-sama membendung gejala negatif tersebut dari tersebar lebih meluas tanpa batasannya.
Semoga penulisan kali ini dapat memberi manfaat kepada semua yang membacanya. Semoga kita tergolong dalam orang-orang yang beriman dan orang-orang yang tahu malu.
Wallahua`alam.
*sedikit sumber maklumat di perolehi dari jawapan panel kemusykilan agama, JAKIM yang menceritakan perihal aurat berdasarkan pandanagan mazhab Syafie.