Sunday, August 2, 2009

Sedikit Coretan Hati

kenangan bersama Ustaz Yusry Mazlan

Hari ini berlalu seperti hari-hari yang lepas, masih lagi menjadi mustami`(pendengar) yang tetap dalam kelas pengajian. Ada yang faham dan ada yang tak faham bila doktor bersyarah di hadapan kami. Jika doktor mengajar berpandukan kitab. Alhamdulillah, boleh dipertimbangkan, dan peratus kefahaman yang diperolehi taklah teruk sangat. Tetapi, selalunya dahi akan berkerut untuk memahami syarahan doktor lebih-lebih lagi doktor yang bercakap bahasa Arab Pasar. Memang penat dan letih untuk memahaminya.

Perasaanku cukup iri hati bila melihat sahabat-sahabat lain selalu bermusyarakah ( bersoal jawab ) dengan pensyarah di dalam kelas. Jika ada persoalan atau kekeliruan berkenaan sesuatu tajuk, mereka terus bertanya dengan pensyarah dengan kefasihan bertutur dalam bahasa Arab yang mantap lagi kemas. Sedih betul hati ini kerana masih lagi belum mampu untuk sekapal dengan mereka yang selalu bermusyarakah. Bilalah tibanya masa untuk aku bersoal jawab dengan doktor?

Kadang-kadang, rasa kagum juga tengok pelajar-pelajar Arab yang tidak takut dan segan bersoal jawab dengan doktor . Jika soalan diajukan kepada mereka, pantas mereka menjawabnya dengan yakin walaupun jawapan itu salah. Inilah kelebihan pelajar Arab berbanding pelajar kita kerana mereka sentiasa bersifat berani dan yakin. Tetapi, tidak dinafikan pelajar kita pun ada yang seperti mereka, malah ada yang lebih baik dari pelajar arab dan mendapat kepujian dari kebanyakan doktor.

Teringat kata-kata semangat Dr Mustapha Abu Zaid sewaktu pengajian Sirah Nabawiyyah yang ditujukan kepada kami “ Kamu kena kuat! kamu kena berani! Contohilah para sahabat yang mana ketika mudanya telah dipertanggungjawabkan dengan tugasan yang berat. Seperti Mus`ab bin Umair, utusan Rasulullah s.a.w untuk mengajar ajaran Islam kepada penduduk Madinah. Dan ramai lagi antara para sahabat yang waktu muda mereka dihabiskan untuk Islam. Mereka semua berani dan kuat serta berjiwa pejuang. Kamu wajib contohi mereka. Kamulah yang akan memimpin masyarakat kamu bila kamu pulang tanah air kamu nanti. Kamu tidak boleh menjdai pengecut. Jadi, belajarlah dan tambahlah segala-gala ilmu di sini dan janganlah kamu menjadi orang-orang bingung bila pulang ke tanah air kamu nanti.”

Terima kasih doktor dengan kata-kata semangat itu. Moga ia menjadi pendorong kepada kami untuk sentiasa mengislahkan diri dan meningkatkan tahap ilmuan kami

Teringat juga kata-kata Ustaz Yusry Mazlan bekas guru tasmik kelasku di Darul Quran. Semasa hari jamuan perpisahan dengan anak-anak kelas tasmiknya, beliau telah berpesan “ sebelum pergi belajar di tanah arab, kemaskanlah ilmu bahasa arab seperti nahu sorof. Kalu berkaitan ilmu fiqh dengan tauhid, paling elok khatamkanlah dulu kitab-kitab yang rendah ni seperti kitab fathul qarib dan matan jauharah. Kalau tak, jadi masalah untuk kita nanti, kalau kat sana baru nak pulun. Kita ke sana bukan baru nak mencari tapi untuk menambah ilmu ke peringkat lebih tinggi. Kalau baru nak mencari memang tak cukup dalam masa 3-4 tahun ni, silap hari bulan dah berani nak menghukum seseorang yang dah lama belajar dari kita dan dia lebih alim dari kita.”

Terima kasih ustaz atas nasihat yang diberikan. Baru kurasai setengah dari kesusahan itu. Doakan anak muridmu ini supaya tidak menjadi seseorang yang suka menghukum orang lain dan Allah permudahkan segala urusanku di sini. Ana bangga menjadi anak murid ustaz.

Buat adik-adikku dan sesiapa saja yang berhasrat untuk menyambung belajar ke Timur Tengah aku nasihatkan kamu supaya persiapkan diri dengan mendalami ilmu bahasa arab dan perkemaskan lagi serta mantapkan ilmu yang telah sedia ada. Dengan demikian ia akan memudahkan kamu untuk menghadapi perjalanan sebagai seorang yang dahagakan ilmu. InsyaAllah semuanya akan senang bila kita sudah mahir dengan bahasa arab, kaedah nahu sorof dan cabangnya sebelum menjejak kaki di sini.

Waallahutaala,a`alam.




No comments: