Saturday, August 8, 2009

Bergembiralah, Hari Ini Hari Kalian

kenangan bersama Ustaz Zamri Zainudin " mari mengaji"

sebelum majlis konvo kali 17 berlangsung


Konvokesyen Darul Quran Kali ke 18

Tahniah dan syabas ditujukan kepada semua graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian di Darul Quran, samada graduan dari program Diploma Tahfiz al-Quran wal Qiraat, Diploma Tahfiz al-Quran wal dakwah dan program Persijilan Tahfiz al-Quran.

Kepada semua sahabat-sahabat yang diraikan, diri ini memohon beribu-ribu kemaafan kerana tidak dapat menghadirkan diri ke majlis yang begitu bermakna buat kalian. Yang pasti walaupun jasad diri ini berada jauh dari bumi Malaysia tercinta, tetapi anggaplah, ruhku dan fikiranku sentiasa berada di sisi kalian.

Tahniah dan syabas sekali lagi ku ucapkan kepada kalian.

Bagi sahabat-sahabat DQ yang mengenali aku terutama batch diploma 05/08 dan lain-lain batch, di kala ini hatiku rasa begitu sayu, begitu rindu untuk kembali bersama kamu semua walaupun sekejap. Cukuplah dengan bertanya khabar, ia sudah memadai bagiku kalau kita semua diberi kesempatan untuk bersua muka. Kerinduan pada kali ini hanya Allah yang tahu.

Kalaulah boleh masa ini dipusingkan balik, semestinya waktu bergelar pelajar DQ akan ku pilih. Begitu banyak kenangan pahit dan manis telah tercatat dalam diari kehidupan DQku.

Masih ingat lagikah kalian istilah “Padang Belakang” dikalangan kita tempat Serol dan Fikri menunjukkan skill-skill pelik? Masih ingat lagikah kalian dengan Kelas Duri kelas yang paling cool? Masih ingat lagikah kalian kata-kata ini “ budu wuma` zaujun samak ma`a ulam” menyebabkan semua pelajar bukan Kelantan terkial-kial mencari maknanya. Masih ingat lagikah kalian dengan Jeti tempat kita buat terjun pacak dan lipatan samsok? Masih ingat lagikah tempat paling belakang di penjuru kiri masjid DQ port kita berbincang masalah umat (betul ke ni)? Masih ingat lagikah kalian dengan tarannum Pali Norzlan dan Pak Lah yang begitu mendayu-dayu semasa kelas qiraat bersama Ustaz Jalal.

Banyak lagi kalu nak disebutkan di sini, cukuplah dengan apa yang diceritakan. Yang pasti segala kenangan-kenangan ini akan sentiasa tersemat di memori kita masing-masing. Hanya pelajar-pelajar yang pernah bergelar pelajar DQ saja yang akan merasinya. Tidak kira kita di campak kemana pun, bagiku DQ tetap di hati.

Semoga moto “ KERANA ALLAH TERCINTA, AL-QURAN TERSEMAT DI DADA” yang pernah kita bersama lafazkan menjadi sumber inspirasi dan mampu menaikkan semangat untuk menjaga al-Quran yang telah kita khatamkan 30 juz secara hifz. Jagalah amanah yang telah kita perolehi ini.


Friday, August 7, 2009

Iklan Low-Rate Void

*iklan yang simple.
*harap sampai la maksud yang ingin saya sampaikan.
*saya memang tak pandai buat benda-benda camni. InsyAllah dalam proses belajar untuk memahirkan diri.

Di Penghujung Fasal Saifi

Alhamdulillah, segala bentuk pujian dan kesyukuran kupanjatkan kepada Allah s.w.t.


Hari ini, bertarikh 6 Julai 2009 berakhirlah kelas pengajianku di Universiti Mu`tah untuk fasal saifi tahun ini. Bermakna sudah lengkap 1 sem panjang ( fasal thani) dan satu sem pendek ( fasal saifi ) telah ku lalui sepanjang menjadi tetamu dataran Syam.


Berakhirnya kelas pengajian tidak semestinya kami boleh berehat, tapi ini menandakan musim peperiksaan akan tiba. Jadi, kepada semua yang bakal-bakal menduduki final exam tak lama lagi (untuk yang tak kena mabsul oleh doktor) pulunlah habis-habisan madah untuk diulang kaji. (Jangan dok asyik nak tidur dan rehat aje). Bagiku, tiada hadiah yang paling bernilai dan berharga untuk ibubapa kita kecuali dengan memperolehi kejayaan cemerlang dalam pembelajaran.


Selamat menempuh final exam kepada seluruh pelajar Mu`tah.


Suka di sini untuk aku berkongsi nasihat yang telah diberikan pensyarah kepada kami semasa kelas pengajian terakhir serta sedikit coretan pengalaman bersama dengan mereka.


Nasihat dari Dr Mustafha Abu Zaid, pensyarah madah Sirah Nabawiyyah telah berpesan kepada kami “ Kamu mesti berani! pemuda mesti berani! pemudi mesti berani! Berani menegakkan syiar Islam serta mampu membawa manusia kembali kepada manhaj Islam yang syumul untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Samada dari segi politik, pentadbiran, pertahanan, ekonomi dan sebagainya. Kamulah tentera-tentera Allah. Ingatlah, tentera Allah tidak boleh lemah dan kamulah yang dipertanggungjawabkan untuk memelihara kesucian Islam itu sendiri.”Semoga fikrahmu doktor tertusuk dalam sanubariku.


Nasihat dari Dr Abd Raud pensyarah madah Akidah. Sebenarnya susah bagiku untuk memahami percakapan beliau kerana lahjahnya dengan menggunakan bahasa pasar ( lahjah Karaki). Tetapi aku menafsirkan untuk diriku sendiri bahawa nasihat beliau pada kali terakhir “ sebarkanlah segala ilmu atau maklumat yang kamu perolehi dalam kelas pengajianku ini.” InsyAllah doktor, itulah antara cita-citaku yang ingin ku lakukan .


Nasihat dari Dr Ahmad Zu`bi, pensyarah madah Bahasa Arab Fakulti Bahasa. Setiap kali kelas pengajian mesti banyak kata-kata hikmah dan nasihat akan keluar dari mulut beliau. Aku cukup respek kepada beliau, setiap kata-kata yang dikeluarkan akan disertakan dengan dalil al-Quran dan hadis sama seperti pensyarah Fakulti Syariah. Beliau selalu mempersoalkan seseorang yang merokok. Beliau juga cukup menitik beratkan soal akhlak di kalangan kami supaya kami senantiasa bersifat dengan akhlak yang mulia.


Dr Jamel, pensyarahku bagi madah Tarikh Askari pada fasal saifi dan madah Ulum Askari bagi fasal thani yang lepas. Puratanya, banyak yang tak faham semasa belajar dengan beliau kerana masalah kemahiran berbahasa Arab ( lahjah Karaki). Walaupun belajar pasal ketenteraan, tapi ayat al-Quran dan hadis nabi sentiasa bermain di mulut beliau. Beliau juga selalu menasihati kami supaya sentiasa bermuamalat dengan pelajar Arab jika mahu memantapkan lagi percakapan bahasa Arab.


Semoga nasihat-nasihat ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada diriku sendiri.


Wallahu Taala Aa`lam

Sunday, August 2, 2009

Sedikit Coretan Hati

kenangan bersama Ustaz Yusry Mazlan

Hari ini berlalu seperti hari-hari yang lepas, masih lagi menjadi mustami`(pendengar) yang tetap dalam kelas pengajian. Ada yang faham dan ada yang tak faham bila doktor bersyarah di hadapan kami. Jika doktor mengajar berpandukan kitab. Alhamdulillah, boleh dipertimbangkan, dan peratus kefahaman yang diperolehi taklah teruk sangat. Tetapi, selalunya dahi akan berkerut untuk memahami syarahan doktor lebih-lebih lagi doktor yang bercakap bahasa Arab Pasar. Memang penat dan letih untuk memahaminya.

Perasaanku cukup iri hati bila melihat sahabat-sahabat lain selalu bermusyarakah ( bersoal jawab ) dengan pensyarah di dalam kelas. Jika ada persoalan atau kekeliruan berkenaan sesuatu tajuk, mereka terus bertanya dengan pensyarah dengan kefasihan bertutur dalam bahasa Arab yang mantap lagi kemas. Sedih betul hati ini kerana masih lagi belum mampu untuk sekapal dengan mereka yang selalu bermusyarakah. Bilalah tibanya masa untuk aku bersoal jawab dengan doktor?

Kadang-kadang, rasa kagum juga tengok pelajar-pelajar Arab yang tidak takut dan segan bersoal jawab dengan doktor . Jika soalan diajukan kepada mereka, pantas mereka menjawabnya dengan yakin walaupun jawapan itu salah. Inilah kelebihan pelajar Arab berbanding pelajar kita kerana mereka sentiasa bersifat berani dan yakin. Tetapi, tidak dinafikan pelajar kita pun ada yang seperti mereka, malah ada yang lebih baik dari pelajar arab dan mendapat kepujian dari kebanyakan doktor.

Teringat kata-kata semangat Dr Mustapha Abu Zaid sewaktu pengajian Sirah Nabawiyyah yang ditujukan kepada kami “ Kamu kena kuat! kamu kena berani! Contohilah para sahabat yang mana ketika mudanya telah dipertanggungjawabkan dengan tugasan yang berat. Seperti Mus`ab bin Umair, utusan Rasulullah s.a.w untuk mengajar ajaran Islam kepada penduduk Madinah. Dan ramai lagi antara para sahabat yang waktu muda mereka dihabiskan untuk Islam. Mereka semua berani dan kuat serta berjiwa pejuang. Kamu wajib contohi mereka. Kamulah yang akan memimpin masyarakat kamu bila kamu pulang tanah air kamu nanti. Kamu tidak boleh menjdai pengecut. Jadi, belajarlah dan tambahlah segala-gala ilmu di sini dan janganlah kamu menjadi orang-orang bingung bila pulang ke tanah air kamu nanti.”

Terima kasih doktor dengan kata-kata semangat itu. Moga ia menjadi pendorong kepada kami untuk sentiasa mengislahkan diri dan meningkatkan tahap ilmuan kami

Teringat juga kata-kata Ustaz Yusry Mazlan bekas guru tasmik kelasku di Darul Quran. Semasa hari jamuan perpisahan dengan anak-anak kelas tasmiknya, beliau telah berpesan “ sebelum pergi belajar di tanah arab, kemaskanlah ilmu bahasa arab seperti nahu sorof. Kalu berkaitan ilmu fiqh dengan tauhid, paling elok khatamkanlah dulu kitab-kitab yang rendah ni seperti kitab fathul qarib dan matan jauharah. Kalau tak, jadi masalah untuk kita nanti, kalau kat sana baru nak pulun. Kita ke sana bukan baru nak mencari tapi untuk menambah ilmu ke peringkat lebih tinggi. Kalau baru nak mencari memang tak cukup dalam masa 3-4 tahun ni, silap hari bulan dah berani nak menghukum seseorang yang dah lama belajar dari kita dan dia lebih alim dari kita.”

Terima kasih ustaz atas nasihat yang diberikan. Baru kurasai setengah dari kesusahan itu. Doakan anak muridmu ini supaya tidak menjadi seseorang yang suka menghukum orang lain dan Allah permudahkan segala urusanku di sini. Ana bangga menjadi anak murid ustaz.

Buat adik-adikku dan sesiapa saja yang berhasrat untuk menyambung belajar ke Timur Tengah aku nasihatkan kamu supaya persiapkan diri dengan mendalami ilmu bahasa arab dan perkemaskan lagi serta mantapkan ilmu yang telah sedia ada. Dengan demikian ia akan memudahkan kamu untuk menghadapi perjalanan sebagai seorang yang dahagakan ilmu. InsyaAllah semuanya akan senang bila kita sudah mahir dengan bahasa arab, kaedah nahu sorof dan cabangnya sebelum menjejak kaki di sini.

Waallahutaala,a`alam.