Saturday, October 17, 2009

Kisah Buat Seorang Pejuang

Kembalilah Semangat


Semoga penulisan kali ini boleh menjadi pencetus semangat dan kekuatan yang telah hilang. Ya Allah stabilkanlah emosi dan semangatku yang telah mengendur. Sama-sama kita ambil iktibar.


Siapa itu Mus`ab bin Amir r.a? Mungkin ramai yang telah mengenali dan mengetahui kisah Mus`ab dalam perjuangan menegakkan kalimah Haq. Tetapi seramai mana antara kita yang sanggup mengatur langkah dalam medan dakwah untuk menyamai serta meniru jalan yang telah dilalui oleh Mus`ab. Berbahagialah sesiapa yang memilih jalan-jalan yang telah dilalui oleh para sahabat r.a.


Adakah wujud dikalangan kita pada masa kini yang sanggup meninggalkan segala kemewahan dalam kehidupan, sanggup meninggalkan pangkat, sanggup meninggalkan kasih sayang keluarga demi kemashlahatan Islam. Mungkin ada, tetapi tidak begitu ramai dan mungkin hanya 1/10 atau 1/100.


Inilah Mus`ab bin Umair. Sebelum memeluk Islam, beliau merupakan dari golongan berada, hidupnya sentiasa senang, mendapat kasih sayang yang mencukupi dari keluarga, Seorang yang tampan serta bersih dalam pemakaian. Akan tetapi, selepas memeluk Islam, segala kemewahan dan kesenangan dalam hidupnya sanggup beliau tinggalkan. Dari berpakaian mewah kepada pakain serba sederhana yang penuh tampalan.


Ketika Mus`ab pergi meninggalkan satu majlis, Rasulullah s.a.w mengatakan : aku lihat Mus`ab, dan sesungguhnya tidak ada anak muda di Mekah yang lebih berpunya dan beruntung daripadanya. Tetapi semua kemewahan itu ditinggalkan demi cintanya kepada Allah dan nabinya.


Mus`ab juga merupakan salah seorang sahabat yang telah berhijrah ke Habshah demi menjaga kemashlahatan agama Islam. Segala keperitan sanggup dilalui beliau bersama-sama dengan para sahabat yang lain. Susuk tubuh beliau teruk berubah sekembali dari Habshah ke Mekah sehingga menimbulkan belas kasihan dari ibunya yang dalam kekufuran.


Mus`ab bin Umair lah antara kader-kader yang dilatih oleh Rasulullah s.a.w yang telah ditugaskan untuk berdakwah di Yathrib (kini Madinah al-Munawwarah). Hasil kerja dakwah yang dijalankan oleh Mus`ab bin Umair telah mengembangkan lagi ajaran Islam di Yathrib. Sehingga dikatakan tidak ada satu rumah pun di Yathrib tidak pernah dikunjungi oleh Mus`ab. Dan setiap rumah di Yathrib pasti bercahaya dengan cahaya agama Islam kesan daripada dakwah Mus`ab.


Pernah satu ketika, semasa Mus`ab mengajar kepada pengikutnya. Datang salah seorang daripada ketua kaum iaitu Usay yang berada di Madinah memarahi dan mengungut kerja dakwah yang dilakukan oleh Mus`ab. Tetapi hasil kecerdikan dan kepandaian Mus`ab, beliau berjaya memikat hati Usay untuk memeluk Islam selepas dibacakan ayat suci al-Quran kepada Usay.



Mus`ab juga merupakan sahabat yang turut terlibat dalam peperangan Badar dan Uhud. Kemuncak hidup Mus`ab mencapai titik kemulian yang abadi adalah bermula dari peperangan Uhud. Saudara dari keluarga ayahnya, berkata; Mus'ab ditugaskan membawa tiang bendera perang ketika perang Uhud. Disaat pasukan muslimin berpecah-belah, Dia berdiri dengan tegap sampai ketika ia bertemu Ibn Qaami'ah seorang panglima pasukan kafir Mekkah. Ibn Qaami'ah kemudiah memukul dan memotong tangan kanan Mus'ab. Tetapi, beliau tetap teguh dengan memegang bendera dengan tangan kirinya sambil berkata "Dan sungguh Muhammad SAW itu adalah seorang nabi, dan Nabi-nabi telah meningal sebelumku". Kemudian Ibn Qaami'ah memutuskan tangan kiri Mus'ab. Mus'ab tetap menegakkan bendera perang dengan lengan atas dan dadanya sambil berkata "Dan sungguh Muhammad SAW itu adalah seorang nabi, dan Nabi-nabi telah meningal sebelumku". Kemudian datang prajurit kafir ketiga yang menghunuskan tombaknya ke dada Mus'ab.


Itulah titik terakhir Mus`ab dengan mengakhiri hidupnya sebagai seorang syuhada yang bakal menerima ganjaran-ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t.


Satu lagi cerita kesedihan semasa kisah pengebumian jenazah Mus`ab. Beliau memang tidak meninggalkan apa-apa pun harta dan kekayaan selain sehelai kain yang digunakan oleh sahabat yang lain untuk menutupi tubuh badannya. Jika ditutup kepalanya, belah kaki pula akan tersingkat. Dan jika ditarik menutup kaki, belah kepala pula akan tersingkat. Akhirnya Rasulullah s.a.w menyuruh para sahabat yang lain, agar menutup kepala dengan kain dan belah kaki yang tersingkat ditutup dengan daun-daun yang ada.


Begitu sekali cerita Mus`ab bin Umair yang dahulunya dari golongan senang lenang, tetapi demi Allah dan Rasulullah s.a.w semua kepentingan dan kekayaan ditinggalkan oleh beliau. Jika dibandingkan dengan kita pada hari ini, Mampukah kita mencontohi Mus`ab bin Umair dalam medan dakwah. Sesungguhnya medan dakwah memang memerlukan pengorbanan. Tidak dipanggil dakwah jika kerjanya dijalankan tanpa ada onak dan duri. Tidak dipanggil dakwah jika hampaian permaidani merah menjadi jalannya.


Semoga semua hati-hati yang masih lagi dalam zon kesenangan, ketiduran dan keselesaan akan terus bangkit dan sedar terhadap tanggungjawab sebagai seorang Islam. Semoga, kita juga mampu mencapai atau mampu ke arah kemuncak kehidupan bagi menghampiri titik kemulian seperti Mus`ab bin Umair. Insya Allah.

1 comment:

Anonymous said...

Semoga Allah kurniakan semangat yg kuat seperti Mus'ab Umair pd enta..

Abu Asiah (Irbid)