Thursday, July 16, 2009

Ciri Pemimpin Yang Ideal

Di sini hanya sedikit saja yang ku ingin utarakan iaitu ciri-ciri yang perlu ada pada pemimpin. Tidak kira pemimpin yang hanya memimpin pada skala yang kecil atau memimpin pada sekolompok yang besar. Bagiku, inilah ciri-ciri yang perlu ada di kalangan bakal pimpinan :

Pertama, harus berpegang teguh kepada Islam yang di turunkan oleh Allah SWT.
Berpegang teguh pada agama dan syariat merupakan syarat terawal dan paling penting untuk para pemimpin. Yang halal dikatakan halal dan yang haram dikatakan haram. Mereka tidak perlu berdolak dalih untuk meraih simpati daripada seseorang serta ingin meraih sokongan daripada orang lain. Mereka hanya perlu mengatakan yang hak dan tidak banyak berdalih. Hubungan mereka dengan Allah s.w.t juga sentiasa terjaga sebagaimana terjaga hubungan mereka dengan golongan masyarakat. Inilah pemimpin yang kita inginkan.

Kedua, ialah mentaati dan menghargai kedua ibubapa.
Pemimpin yang hebat wajib keatas mereka tidak melupakan jasa dan pengorbanan ibubapa mereka yang telah membesarkan mereka sehingga mereka berjaya. Mentaati ibubapa juga merupakan salah satu daripada kewajipan agama. Pemimpin haruslah membuktikan kepada ibubapa mereka bahawa segala pengorbanan dan jasa yang telah mereka curahkan bukanlah satu yang sia-sia dengan memastikan kejayaan cemerlang serta tidak melakukan perbuatan yang boleh memalukan keluarga mereka. Jauhkanlah diri daripada lembah kehinaan agar kita tidak menyesal di kemudian hari. Dengan mentaati ibubapa InsyAllah keamanan dan kesejahteraan bakal menjadi milik kita semua tidak kira kita menjadi pemimpin atau dipimpin.

Ketiga, ialah mampu mengawal nafsu.
Nafsu sentiasa mendorong kita kepada perkara-perkara yang tidak baik sekiranya tidak di kawal. Kaedah yang betul untuk mengawalnya ialah melalui penghayatan ajaran agama Islam, mendekatkan hubungan kita dengan Maha Pencipta kita dan menanam perasaan malu dalam diri kita-malu kepada Maha Pencipta, ibubapa, rakan dan pensyarah kita. Jadi, seorang pemimpin wajiblah bagi mereka mampu untuk mengawal nafsu mereka. Jika tidak, kehancuran dan kemusnahan besar bakal berlaku terhadap masyarakat yang dipimpinnya.

Keempat ,ialah pemimpin yang tegas dengan prinsipnya serta menjaga amanah.
Ketegasan dalam berprinsip juga merupakan faktor penting dalam mendidik masyarakat supaya menjadi lebih berdisiplin dan berkarisma.Mungkin masyarakat sekelilingnya akan menolak pemimpin sebegini kerana sikap tegasnya tetapi lama kelamaan melalui perjalanan masa dan pengalaman, sikapnya akan di terima oleh masyarakat dan menjadi asas kepada pembentukan masyarakat yang bermoral. Hanya dengan cara ini, masyarakat dan organisasi yang dia berada akan mencapai matlamat unggul yang di gariskan oleh pimpinannya.

Kelima, ialah pemimpin yang tidak menjalankan aktiviti yang bertentangan dengan agama Islam .
Mereka haruslah memikirkan dan melibatkan diri serta melaksanakan aktiviti yang mampu meningkatkan 4 perkara iaitu minda, spiritual, fizikal dan emosi mereka agar mereka menjadi insan yang seimbang. Aktiviti yang boleh memudharatkan 4 perkara ini haruslah di jauhi kerana ia di anggap merosakkan seseorang insan itu dan juga orang lain dan tergolong dalam perkara-perkara yang tidak bermoral. Moral seseorang pemimpin akan di pandang hina bilamana seorang pemimpin itu melakukan sesuatu yang begitu mengaibkan. Dan ini adalah satu berita yang mendukacitakan jika para pemimpin kita adalah dari kalangan orang-orang yang melakukan aktiviti-aktiviti kurang sihat.

Semoga item-item di atas mampu menjadi inzar atau peringatan kepada semua yang bakal menjadi pemimpin.

Selamat berkempen dan mengundi kepada Mahasiswa Universiti Mu`tah, Jordan.

Wassalam.

No comments: