Sunday, August 23, 2009

Ramadhan Di Perantauan

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa (183 ; al-Baqarah)

Hatiku berkata :

Alhamdulillah, sudah sehari kita berpuasa Ramadhan. Kelainan menyambut bulan penuh berkat pada kali ini memang sangat berbeza berbanding tahun lepas. Memang pengalaman menyambut ramadhan di negara orang satu pengalaman yang begitu berharga bagi saya. Salah satunya, jika dahulu semuanya bergantung penuh dengan juadah ibunda ketika berbuka tetapi pada kali ini air tangan kita sendiri yang menghasilkan juadah berbuka.

Sekali lagi saya panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana ayahnda dan bonda telah selamat sampai di tanah suci kota mekah semalam. Hati ini begitu tidak sabar berangkat ke sana untuk bertemu mereka. Sejuk rasanya bila mendapat panggilan daripada abah sebentar tadi. Mujur semuanya selamat dan sihat walaupun cuaca di Mekah agak begitu panas berbanding cuaca di Malaysia. Semoga abah, ma, ayah ngah, dan mak ngah sentiasa sihat selalu disamping menjalankan ibadat puasa dan ibadat umrah di Tanah Suci.

Cuti-cuti Malaysia

Berakhirnya imtihan nihaie fasal saifi, bermakna bermulalah musim cuti bagi kami di Universiti Mu`tah. Ada yang akan balik ke Malaysia, ada yang ke Syria, ke Mesir dan ada yang setia berada di Mu`tah termasuklah saya. Apa-apa pun semoga cuti selama sebulan lebih ini kita mampu memanfaatkannya disamping menjalankan ibadah puasa. Bagi yang pulang ke Malaysia saya doakan kalian agar terhindar dari segala wabak penyakit dan kepulangan kalian mampu menghiburkan hati ibu bapa dan keluarga tercinta. Semoga Allah bersama dengan kalian.

Tidak lupa juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pelajar Mu`tah yang telah berjaya menamatkan pengajian di sini walaupun diri ini tidak begitu mengenali kalian. Semoga segala ilmu yang diperolehi di sini mampu dicurahkan di tanah air nanti dan mampu diterjemahkan dalam kehidupan kalian.

Ramadhan Yang Sama, Natijah Yang Berbeza.

Tak disangka, tema Ramadhan pada kali ini bagi program ihya Ramadhan PERMATA sama dengan tema yang pernah saya lihat dan dengar beberapa tahun lepas di DQ. Rupa-rupanya tema ini dicadangkan oleh sahabat saya sendiri iaitu saudara Syakir kepada ketua unit BBR iaitu saudara Hussin. Indahnya jika, seluruh penghayatan dan amalan kita untuk Ramadhan pada kali ini mampu mengubah kehidupan seseorang ke arah lebih baik sebagaiaman maksud tersirat yang terdapat pada tema tersebut.

Semoga segala ibadah dan amalan kita pada Ramadhan kali ini akan menjadi saksi kepada kita di hari akhirat kelak, insyaAllah. Isilah Ramadhan dengan segala amalan-amalan yang mampu kita lakukan. Perbanyakkanlah tadarrus al-Quran. Ingatlah, bulan Ramadhan adalah hadiah bagi umat nabi Muhammad kerana di dalamnya bermacam-macam ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t jika kita memanfaatkannya.

Semoga ketakwaan akan menjadi milik kita di akhir nanti.Anda mampu mengubahnya.Amenn.

SALAM RAMADHAN DARI BUMI MU`TAH JORDAN

No comments: