Monday, December 6, 2010

Selamat Tinggal 1431H

Salam maal hijrah buat semua umat Islam.

Dengan kedatangan tahun 1432H bakal mendatangkan seribu satu rahmat kepada kita semua dan 1431H yang telah berlalu akan menjadi penanda aras, di takuk manakah kita berada? Dan banyak manakah amalan yang telah kita lakukan dengan ikhlas dan sempurna?

Dengan rasminya buku catatan kita bagi tahun 1431H akan berakhir pada kali ini, dan sama-samalah kita bermuhasabah diri. Semoga setiap perkara yang berlalu menjadi iktibar dan pengajaran kepada diri kita semua agar ia mampu menjadikan kita insan yang sentiasa bersyukur pada Yang Maha Kholik.

Marilah kita sama-sama menghayati kisah sirah perjalanan Rasulullah dan para sahabat berhijrah dari Kota Mekah ke Madinatul Munawwarah ( kota yang bercahaya ) bagi menyahut perintah Allah s.w.t dan juga bagi menjaga kesucian agama Islam itu sendiri. Banyak dugaan dan ujian yang diterima oleh Kekasih Allah dan para sahabat semasa proses penghijrahan. Tetapi semua ujian dan dugaan yang datang tidak menggugat jiwa dan keimanan mereka kepada Allah s.w.t RasulNya. Mereka tetap percaya dan yakin dengan jalan yang telah mereka pilih.

Dan akhirnya, atas keyakinan dan iman yang teguh mereka telah berjaya membuka dan membina sebuah kerajaan Islam. Bermula di situlah Islam mula berkembang ke seluruh pelusuk dunia. Segala bentuk kemungkaran dan halangan pihak musuh mereka telah hadapi dengan jayanya demi Islam yang tercinta.

Sesungguhnya banyak pengajaran dan iktibar dapat kita ambil dari kisah tersebut. Hanya mereka yang benar-benar memahami kisah itu sahaja yang mampu untuk mengaplikasikan pada kehidupan pada hari ini. ( semoga kita tergolong dalam golongan yang memahami)

Semoga dengan kedatangan tahun 1432H, ISLAM akan terus terbela dan disanjung tinggi sehingga jatuhnya kerajaan Taghut. InsyaAllah. Semoga semangat generasi para salaful soleh akan bangkit dalam diri dan jiwa kita semua.

SALAM MAAL HIJRAH 1432H