Thursday, May 21, 2009

Rencah Kehidupan Di Perantauan

Teringat aku satu pertemuan yang tidak di janjikan dengan ex-senior DQ di Kafetaria Mahallah Umar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia seusai kerja part timeku sebagai EA (examination assistant) di UIAM. Dalam pertemuan tersebut, masih kuingat pertanyaan senior ku itu pasal urusan sambung pengajian. Aku khabarkan padanya untuk sambung belajar di Timur Tengah peratusnya banyak kearah Jordan dan respon beliau terhadapku adalah sebaliknya. “ Mie,saing aku kato ngaji luar (di timur tengah ) teruk. Musim panas meme teke time tu, doh la panas pahtu berdebu lagi. Kalu musim sejuk tuh, sejuk pah ko tule. Kalu Jordan gak meme teruk jugok. Dengar kaba, air sokmo tok cukup. Nok wat gano, air negaro tu pun beli dengan negaro Syria. Meme mu keno soba betul-betul. Bagi aku la, Baik mu ngaji dale jah, um ko uia ko, kito nok belaja ni mesti cukup keperluan-keperluan asas tu. Belaja dale pun buleh jadi hebat”. Aku masa tu jadi pak angguk je mendengar celoteh ex-senior DQ yang macam penceramah. Tapi semangat untuk sambung belajar di timur tengah tetap membara walaupun aku agak terlewat dari sahabat-sahabatku yang lain. Dimana kebanyakan sahabatku ketika itu telah menjadi mahasiswa universiti tempatan dan luar manakala aku masih lagi menjadi penganggur yang terhormat dalam bidang menuntut ilmu.


Kata-kata seniorku memang ada kebenarannya setelah aku alaminya di Jordan, musim sejuk yang terlalu sejuk telah aku hadapi dan sekarang ni musim panas pula yang akan kunjung tiba. Alhamdulillah, aku dapat hadapinya secara perlahan-lahan dan menjiwainya walaupun pertama kali merasai semua itu. Tapi satu saja yang selalu menguji kesabaranku sebagai penuntut di Jordan di university mu`tah iaitu masalah air. Untuk pengetahuan, sumber air di sini memang terhad dan setiap rumah hanya bergantung kepada air kerajaan semata-mata. Setahu aku, tiada sumber air tawar samada dari perigi, kolam atau sungai. Yang ada hanya air masin di laut mati. Satu kepastian rumah masyarakat disini wajib ada satu tangki sekurang-kurangnya berisipadu 1meter persegi atau 2 meter persegi dan begitulah juga rumah-rumah sewa penuntut Malaysia. Air kerajaan pula hanya naik sekali seminggu untuk memenuhi tangki-tangki tersebut iaitu pada malam jumaat. Bagiku, inilah masalah yang selalui menghantui aku di sini, rumah sewa aku selalu saja kehabisan air pada hari rabu atau selasa. Padahal aku dan ahli rumah sentiasa berjimat cermat dalam penggunaan air sehingga mandi hanya 2-3 kali sahaja untuk seminggu. Waktu kehabisan air memang begitu tenat sekali di sini, ambil wudhuk terpaksa dengan air minum yang dibeli dan kadang-kadang terpaksa menumpang bilik air rumah kawan yang masih ada simpanan air lagi. Terima kasih buat ahli rumah bayt ashabul kahfi. ( rizqi,nazri,thaha dan syahed) kerana sudi menumpangkan bilik air.


Bagiku, semua tadi kalau di fikirkan secara positif memang banyak manfaatnya . Yang pertamanya, pengalaman sebegini memang pengalaman yang agak unik dan menarik bagi orang baru seperti aku di bumi Jordan. Bayangkanlah di Malaysia kita mandi 3 kali sehari tapi di sini 3 kali seminggu tapi badan masih tidak berbau. Bukankah itu satu keunikkan yang hanya ada di bumi arab saja dan tidak ada di Malaysia. Kedua, boleh melatih kesabaran diri individu serta daya ketahanan mental fizikal seseorang. Ketiga, melatih diriku untuk berjimat cermat dalam penggunaan air. Seterusnya, boleh merapatkan ukhwah sesama penuntut-penuntut yang lain dan melahirkan insan-insan yang suka menolong orang lain bila dalam kesusahan. Tetapi aku tak nafikan keburukan di sebabkan kehabisan bekalan air juga ada dan aku tak mahu menceritakan di sini pasal keburukan tersebut. Terima kasihlah ex-senior DQ kerana mengingatkan aku pasal masalah air di Jordan dan aku telah melaluinya dan ia merupakan pengalaman berharga buatku. Bolehlah aku praktikan budaya jimatkan penggunaan air di sini dan di tanah air nanti

Memang betul keperluan-keperluan asas harus sempurna dan lengkap untuk kita belajar dengan elok macam belajar di universiti tempatan. Semuanya di sana lengkap dari segi insfrastruktur, cuaca elok, sumber air cukup,pengankutan baik dan lain-lain. Semua lengkap, dan tidak sama dengan keadaan di sini. Tapi bagiku itu semua hanyalah kain langsir untuk mencantikan sebuah rumah dan hanya nasi tambah untuk seseorang yang dah rasa kenyang. Ia bukanlah syarat untuk kita belajar dengan cemerlang tapi hanya sabagai pelengkap yang tidak begitu penting. Buktinya, ramai graduan-graduan dari timur tengah telah berjaya menempa nama di tanah air walaupun mereka belajar dalam keadaan yang tidak sebegitu lengkap seperti keadaan di Malaysia. Di sini, setiap pengalaman pahit atau manis hidup di timur tengah memang begitu bermakna sekali untuk masa akan datang. Mungkin, ada orang yang berpendapat sebaliknya dan itu terpulanglah pada orang tersebut.

1 comment:

Zenki said...

rindu eh ko ore duk musim panah loni nih..hehe. sedap dok lepah musim bunga?