Zaman Kanak-Kanak
“Bakpo banyok saloh ni, tak baca dengan ore lain dulu ko. Zapp, Zapp, Zapp” bunyi rotan dua tiga kali dari arah Pak Muda, guru al-Quran saya ketika zaman persekolahan. Semua budak-budak yang lain terus diam dari mengaji.
Berbirat betis mamat( bukan nama sebenar ) kali ni. Sekali tengok, macam bentuk line Adidas pun ada kesan dari penangan rotan Pak Muda.
Kadang-kadang saya pun turut merasai kesakitan kena rotan disebabkan kesalahan pada hukum tajwid. Boleh dikatakan antara kami lebih kurang 20 orang semua pernah merasai kesakitan kena rotan Pak Muda. Anak beliau pun turut sama kena rotan macam kami jika melakukan kesalahan dalam bacaan al-Quran.
Tersenyum sendirian bila mengingat balik cerita-cerita zaman budak dulu.
Zaman Remaja
“ Tak kan ana nak rotan antum macam budak-budak. Antum dah besar, dah matang, muka pun ada yang dah macam ayah orang. Gunalah anugerah akal yang tuhan bagi tu untuk berfikir. Tak kira antum hafaz al-Quran atau tak hafaz al-Quran. Tajwid mesti dan wajib dijaga. Sedap-sedap kita je nak baca tanpa tajwid, ingat al-Quran ni kita punya! Suka-suka je buat hukum tajwid sendiri.” Kata Ustaz Y kepada anak muridnya.
Pendapat Saya Tentang Ilmu Tajwid
Di sini dapat saya simpulkan bahawa ilmu tajwid ( salah satu ilmu al-Quran ) satu ilmu yang amat penting kepada umat Islam. Tetapi yang sedihnya, ramai di kalangan masyarakat kita di Malaysia sekarang, tidak begitu menitik beratkan pasal tajwid dan kaedahnya dalam pembacaan mereka.
Malahan di kalangan masyarakat Arab sendiri, ada antara mereka yang masih ramai lagi melakukan kesalahan-kesalahan ketika membaca ayat-ayat al-Quran.
Inilah menandakan ilmu tajwid bukan satu ilmu yang boleh dikuasai tanpa belajar walaupun kita mahir dengan bahasa arab. Tetapi ia perlu di pelajari dan dipraktikkan jika mahu menguasai ilmu tersebut.
Ingin saya membuka sedikit minda kalian semua. Kemahiran ilmu tajwid begitu diperlukan ketika solat dan ia amat penting. Ia boleh menentukan sah dan batalnya solat seseorang. Kenapa saya kata begitu?
Jawapan saya. Tanpa memahami selok belok tentang ilmu tajwid kita tidak akan mampu membaca surah al-Fatihah dengan sempurna. Sedangkan bacaan surah al-Fatihah merupakan rukun bagi solat. Jika rosaknya bacaan al-Fatihah maka rosaklah rukun solat. Jika rosak satu-satu rukun dalam solat maka terbatalah solat tersebut.
Oleh itu, menjadi kewajipan kepada kita untuk belajar tentang ilmu tajwid dan jika tidak mampu sekurang-kurangnya kita mampu menguasai kaedah-kaedah bacaan dengan sempurna. Paling tidak, usaha untuk memperbaiki bacaan telah kita lakukan.
Di sini saya ingin menjelaskan sedikit maksud kesalahan (اللحن) dalam membaca al-Quran. Kesalahan di sini bermaksud bacaan yang salah pada membaca al-Quran.
Ulama Qiraat telah membahagikan kesalahan bacaan kepada dua bahagian iaitu :
Pertama :(اللحن الجلي)Kesalahan Nyata @ Jelas
Kesalahan dari jenis ini ialah kesalahan pada menyebut lafaz ayat al-Quran sehingga menimbulkan syak wasangka pada maknanya yang sebenar, samada ia memberi kesan kepada merosakan makna ayat ataupun tidak. Contohnya menukar baris huruf dari baris atas dibaca baris bawah.
Antara kesalahan-kesalahan nyata:
1. Meninggalkan hukum mad asli, iaitu tidak membaca 2 harakat pada ayat yang ada mad asli.
2. Meninggalkan hukum izhar (nyata) pada tempat dikenakan izhar(nyata), dan tidak idgham(dengung) pada tempat sepatutnya dibaca idgham (dengung)
3. Memendekkan bacaan mad wajib dan mad lazim kepada 2harakat ditempat yang sepatutnya dipanjangkan.
4. Membaca huruf dengan tebal yang sepatutnya huruf itu dibaca nipis dan sebaliknya.
5. Kesalahan pada waqaf( berhenti) bacaan sehingga merosakkan makna ayat al-Quran.
6. Memulakan ayat pada tempat yang tidak sesuai selepas waqaf sehingga merosakan makna.
Kedua : (اللحن الخفي) Kesalahan Tersembunyi
Kesalahan dari jenis ini ialah kesalahan-kesalahan yang tidak membawa kepada perubahan makna.Contohnya, kita tidak dapat menentukan kadar harakat mad dengan tepat atau tidak dapat membaca sifat huruf itu dengan sempurna. Kesalahan ini hanya boleh diketahui oleh ahli-ahli yang mahir dalam ilmu tajwid sahaja.
Tetapi perkara yang amat penting perlu kita ketahui ialah hukum melakukan kesalahan ini ketika membaca al-Quran terutama bacaan ketika solat.
Pertama : Jika di sandarkan kepada kesalahan yang nyata.
Hukumnya ialah berdosa dan boleh membatalkan solat jika dilakukan dalam solat dan menjadi kewajipan untuk belajar cara bacaan yang betul.
Kedua : Jika disandarkan kepada kesalahan tersembunyi.
Hukumnya ialah satu kesalahan yang kecil dan ringan dibandingkan dengan kesalahan yang nyata dan solat mereka masih sah.
Jadi sama-samalah kita merenung diri kita ditahap manakah penguasaan kita terhadap ilmu tajwid dan sejauh manakah kelancaran kita melafazkan Kalam Allah ini. Semoga tulisan kali ini dapat memberi manfaat dan peringatan kepada kita semua terutama diri saya sendiri.
Ingatlah maksud hadis Nabi Muhammad s.a.w “ Sebaik-baik daripada kamu ialah mereka yang belajar al-Quran dan mengajar al-Quran tersebut”
Wallahutaala Aa`lam
2 comments:
salam ziarah n salam ramadhan kareem..
bagus jg post kali ni lebih2 lg time2 skarg ni,ramai ore dok bertadarus n penekanan kpd tajwid perlu dititikberatkan..apa-apa pun sama2 la seluruh yg mengetahui ilmu tajwid walau sedikit menyebarkan ....
salam ya akhi, nak tanya, mcmana pula hukum orang yg diserang penyakit was-was ketika menyebut huruf2 di dlm al-quran?dia rasa mcm dah betul baca tp kdg2 rasa mcm salah gak?macamana ek..
Post a Comment