Saturday, August 8, 2009

Bergembiralah, Hari Ini Hari Kalian

kenangan bersama Ustaz Zamri Zainudin " mari mengaji"

sebelum majlis konvo kali 17 berlangsung


Konvokesyen Darul Quran Kali ke 18

Tahniah dan syabas ditujukan kepada semua graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian di Darul Quran, samada graduan dari program Diploma Tahfiz al-Quran wal Qiraat, Diploma Tahfiz al-Quran wal dakwah dan program Persijilan Tahfiz al-Quran.

Kepada semua sahabat-sahabat yang diraikan, diri ini memohon beribu-ribu kemaafan kerana tidak dapat menghadirkan diri ke majlis yang begitu bermakna buat kalian. Yang pasti walaupun jasad diri ini berada jauh dari bumi Malaysia tercinta, tetapi anggaplah, ruhku dan fikiranku sentiasa berada di sisi kalian.

Tahniah dan syabas sekali lagi ku ucapkan kepada kalian.

Bagi sahabat-sahabat DQ yang mengenali aku terutama batch diploma 05/08 dan lain-lain batch, di kala ini hatiku rasa begitu sayu, begitu rindu untuk kembali bersama kamu semua walaupun sekejap. Cukuplah dengan bertanya khabar, ia sudah memadai bagiku kalau kita semua diberi kesempatan untuk bersua muka. Kerinduan pada kali ini hanya Allah yang tahu.

Kalaulah boleh masa ini dipusingkan balik, semestinya waktu bergelar pelajar DQ akan ku pilih. Begitu banyak kenangan pahit dan manis telah tercatat dalam diari kehidupan DQku.

Masih ingat lagikah kalian istilah “Padang Belakang” dikalangan kita tempat Serol dan Fikri menunjukkan skill-skill pelik? Masih ingat lagikah kalian dengan Kelas Duri kelas yang paling cool? Masih ingat lagikah kalian kata-kata ini “ budu wuma` zaujun samak ma`a ulam” menyebabkan semua pelajar bukan Kelantan terkial-kial mencari maknanya. Masih ingat lagikah kalian dengan Jeti tempat kita buat terjun pacak dan lipatan samsok? Masih ingat lagikah tempat paling belakang di penjuru kiri masjid DQ port kita berbincang masalah umat (betul ke ni)? Masih ingat lagikah kalian dengan tarannum Pali Norzlan dan Pak Lah yang begitu mendayu-dayu semasa kelas qiraat bersama Ustaz Jalal.

Banyak lagi kalu nak disebutkan di sini, cukuplah dengan apa yang diceritakan. Yang pasti segala kenangan-kenangan ini akan sentiasa tersemat di memori kita masing-masing. Hanya pelajar-pelajar yang pernah bergelar pelajar DQ saja yang akan merasinya. Tidak kira kita di campak kemana pun, bagiku DQ tetap di hati.

Semoga moto “ KERANA ALLAH TERCINTA, AL-QURAN TERSEMAT DI DADA” yang pernah kita bersama lafazkan menjadi sumber inspirasi dan mampu menaikkan semangat untuk menjaga al-Quran yang telah kita khatamkan 30 juz secara hifz. Jagalah amanah yang telah kita perolehi ini.


No comments: