Friday, August 28, 2009

Ramadhan : Bulan al-Quran

Segala-galanya Bermula di Sini

Syukur alhamdulillah, diri ini masih lagi diberi kekuatan dan kemampuan untuk meneruskan kehidupan dan pengabdian kepada Mu Ya Allah. Berkat pada bulan Ramadhan kali ini, engkau telah menjadikan kami semua antara hamba-hambamu yang rindu untuk melakukan ibadah, rindu untuk untuk bertadarus, rindu untuk berzikir mengingati Mu dan rindu untuk beramal jariah. Segala rindu ini hanyalah selayaknya bagiMu Ya Allah.

Madrasah Ramadhan memang begitu mengujakan dan impaknya terhadap masyarakat amatlah besar. Bayangkanlah, masjid yang hanya beberapa saff saja jemaah pada bulan lain menjadi penuh dan padat pada bulan yang mulia ini. Rezeki-rezeki peniaga juga makin bertambah, sehingga ada dikalangan mereka mampu untuk menukar kereta baru, rumah baru dan menambah pendapatan harian mereka sendiri. Semuanya hasil dari penangan bulan Ramadhan itu sendiri. Berkatnya bulan ini semua dapat merasainya tidak kira muslim atau non muslim.

Semoga ganjaran daripada Allah s.w.t kita semua perolehi hasil daripada daya usaha ibadah yang kita lakukan. Amenn.

Tadarrus al-Quran

Lazimnya Ramadhan tidak akan berseri jika suasana tadarrus al-Quran tidak bergerak seiringan dengan hari-hari dalam Ramadhan itu sendiri. Ketika inilah ramai di kalangan kita mengambil peluang berlumba-lumba untuk bertadarrus al-Quran baik dalam kelompok yang ramai atau sedikit mahupun secara bersendirian.

Bagi yang bergelar Hamalatul Quran, bulan inilah merupakan bulan praktikal dan bulan jihad mereka untuk mengkhatamkan sebeberapa banyak mungkin 30 juzuk al-Quran itu sendiri. Dan ada antara mereka berpeluang untuk membawa dan mengulang hafalan mereka sewaktu ditugaskan menjadi imam solat teraweh.

Tetapi, yang menjadi masalahnya. Sistem tadarrus manakah yang paling sesuai untuk masyarakat-masyarakat umum yang bacaan mereka masih banyak lagi perlu diperbetulkan?

Bagi saya yang masih serba kekurangan, saya merasakan kita tidak perlu kumpulan yang ramai untuk bertadarus. Cukuplah seramai 5 hingga 7 orang dalam satu kumpulan untuk memperdengarkan bacaan mereka bagi satu sesi dengan bergilir-gilir membaca.

Sekurang-kurangnya baca satu muka surat bagi seorang. Seorang membaca dan yang bakinya melihat mushaf dan mendengar serta membetulkan kesalahan bacaan pembaca tersebut dengan cara berhikmah. Bukan dengan memperkecil kelemahan pembaca. Dan seterusnya giliran pembaca kedua membaca hingga giliran pembaca yang terakhir.

Dengan jumlah atau bilangan yang kecil pasti hasilnya lebih bermakna dan lebih berlipat kali ganda daripada kelompok yang ramai. Pembaca juga tidak akan segan dan malu jika bacaan mereka masih lagi serba kekurangan. Yang penting dalam satu kumpulan itu mesti ada seorang yang arif dan tahu tentang ilmu-ilmu tajwid al-Quran.

Di sini bagi saya “Kualiti bacaan yang patut diutamakan dan dipertingkatkan berbanding Kuantiti atau jumlah pembaca.”

Jika ramai yang ingin bertadarrus eloklah dibuka kumpulan yang lain.

Amatlah sayang sekali jika seseorang itu memang begitu berminat untuk memperbaiki bacaannya tetapi dalam waktu yang sama masyarakat di sekitarnya memperlekehkan usaha beliau. Lantas semangat yang berkobar-kobar terus lenyap ditelan perasaan malu. Kebanyakan perkara sebegini berlaku di kalangan masyarakat kita di Malaysia.

Tidak Bermakna

Tadarrus al-Quran juga tidak akan bermakna jika bacaan kita tunggang-langgang dan kita tidak meletakkan hukum tajwid pada tempat yang sebetulnya. Ini kerap berlaku jika kita baca secara berseorangan. Jika ramai, mungkin ahli kumpulan yang lain boleh menegur kesalahan yang kita lakukan.

Bayangkanlah, bacaan mad(6harakat) di baca Qasr(2 harakat), tempat ghunnah dibaca izhar, mad asli dibaca tanpa mad dan banyak lagi kesalahan-kesalahan yang kita lakukan tanpa kita sedari. Ini masih lagi tidak dinyatakan kesalahan baris, sebutan, serta makhraj huruf itu sendiri.

Apakah syafaat daripada al-Quran akan kita dapat jika bacaan kita sebegini. Ingatlah maksud ayat al-Quran yang berbunyi “ Bacalah ayat al-Quran itu dengan bertartil” iaitu dengan bertajwid. Jika kita tidak pandai atau tiada kemahiran dengan ilmu tajwid maka menjadi kewajipan ke atas kita semua dengan kembali belajar ilmu tajwid itu secara amnya dan ilmu al-Quran itu sendiri secara khususnya.

Carilah guru untuk belajar ilmu al-Quran, janganlah di hari esok baru kita nak menyesal.

Ingatlah kata-kata ini. Sebanyak mana pun kita membaca al-Quran ia tidak akan menyamai membaca sebuah buku atau sebuah majalah. Jika sebuah buku sekali baca dah rasa jemu, tetapi hebatnya Kalam Allah ni, baca beribu-ribu kali pun masih lagi tidak ada perasaan jemu itu. Malah, rasa nak baca al-Quran sentiasa bermain-main di minda kita. Inilah tandanya apabila kemanisan membaca al-Quran itu dirasai oleh mereka selalu berdamping dengan al-Quran.

Akhir sekali “ Bagi sesiapa yang masih lagi mempunyai kelemahan dan kesalahan dalam membaca al-Quran, sama-samalah kita membaikinya kepada lebih elok, dan sesiapa yang telah elok bacaannya, sama-samalah kita berusaha untuk menghafaznya terutama bagi yang berkemampuan, dan jika bacaan dan hafazan kita makin elok marilah kita sama-sama memahami penafsirannya, dan akhir sekali bersama-samalah kita mengamalkan setiap ajaran yang terbit dari al-quran itu sendiri tidak kira kita di tahap mana.”

Wallahutaala aa`alam

Indahnya Hidup Ini Dengan Disulami Tarbiyah,

Indahnya Hidup jika al-Quran Menjadi Pedoman,

Alangkah Manisnya Jika Perkenalan Disaluti Ukhwah,

Kepada Allah Ku Pohon Untuk Segala-galanya,

Yang Menjamin Hidupku di Kemudian Hari.

No comments: