Sunday, August 30, 2009

al-Quran : Di Tahap Manakah Kita?

Zaman Kanak-Kanak

“Bakpo banyok saloh ni, tak baca dengan ore lain dulu ko. Zapp, Zapp, Zapp” bunyi rotan dua tiga kali dari arah Pak Muda, guru al-Quran saya ketika zaman persekolahan. Semua budak-budak yang lain terus diam dari mengaji.

Berbirat betis mamat( bukan nama sebenar ) kali ni. Sekali tengok, macam bentuk line Adidas pun ada kesan dari penangan rotan Pak Muda.

Kadang-kadang saya pun turut merasai kesakitan kena rotan disebabkan kesalahan pada hukum tajwid. Boleh dikatakan antara kami lebih kurang 20 orang semua pernah merasai kesakitan kena rotan Pak Muda. Anak beliau pun turut sama kena rotan macam kami jika melakukan kesalahan dalam bacaan al-Quran.

Tersenyum sendirian bila mengingat balik cerita-cerita zaman budak dulu.

Zaman Remaja

“ Tak kan ana nak rotan antum macam budak-budak. Antum dah besar, dah matang, muka pun ada yang dah macam ayah orang. Gunalah anugerah akal yang tuhan bagi tu untuk berfikir. Tak kira antum hafaz al-Quran atau tak hafaz al-Quran. Tajwid mesti dan wajib dijaga. Sedap-sedap kita je nak baca tanpa tajwid, ingat al-Quran ni kita punya! Suka-suka je buat hukum tajwid sendiri.” Kata Ustaz Y kepada anak muridnya.

Pendapat Saya Tentang Ilmu Tajwid

Di sini dapat saya simpulkan bahawa ilmu tajwid ( salah satu ilmu al-Quran ) satu ilmu yang amat penting kepada umat Islam. Tetapi yang sedihnya, ramai di kalangan masyarakat kita di Malaysia sekarang, tidak begitu menitik beratkan pasal tajwid dan kaedahnya dalam pembacaan mereka.

Malahan di kalangan masyarakat Arab sendiri, ada antara mereka yang masih ramai lagi melakukan kesalahan-kesalahan ketika membaca ayat-ayat al-Quran.

Inilah menandakan ilmu tajwid bukan satu ilmu yang boleh dikuasai tanpa belajar walaupun kita mahir dengan bahasa arab. Tetapi ia perlu di pelajari dan dipraktikkan jika mahu menguasai ilmu tersebut.

Ingin saya membuka sedikit minda kalian semua. Kemahiran ilmu tajwid begitu diperlukan ketika solat dan ia amat penting. Ia boleh menentukan sah dan batalnya solat seseorang. Kenapa saya kata begitu?

Jawapan saya. Tanpa memahami selok belok tentang ilmu tajwid kita tidak akan mampu membaca surah al-Fatihah dengan sempurna. Sedangkan bacaan surah al-Fatihah merupakan rukun bagi solat. Jika rosaknya bacaan al-Fatihah maka rosaklah rukun solat. Jika rosak satu-satu rukun dalam solat maka terbatalah solat tersebut.

Oleh itu, menjadi kewajipan kepada kita untuk belajar tentang ilmu tajwid dan jika tidak mampu sekurang-kurangnya kita mampu menguasai kaedah-kaedah bacaan dengan sempurna. Paling tidak, usaha untuk memperbaiki bacaan telah kita lakukan.

Di sini saya ingin menjelaskan sedikit maksud kesalahan (اللحن) dalam membaca al-Quran. Kesalahan di sini bermaksud bacaan yang salah pada membaca al-Quran.

Ulama Qiraat telah membahagikan kesalahan bacaan kepada dua bahagian iaitu :

Pertama :(اللحن الجلي)Kesalahan Nyata @ Jelas

Kesalahan dari jenis ini ialah kesalahan pada menyebut lafaz ayat al-Quran sehingga menimbulkan syak wasangka pada maknanya yang sebenar, samada ia memberi kesan kepada merosakan makna ayat ataupun tidak. Contohnya menukar baris huruf dari baris atas dibaca baris bawah.

Antara kesalahan-kesalahan nyata:

1. Meninggalkan hukum mad asli, iaitu tidak membaca 2 harakat pada ayat yang ada mad asli.

2. Meninggalkan hukum izhar (nyata) pada tempat dikenakan izhar(nyata), dan tidak idgham(dengung) pada tempat sepatutnya dibaca idgham (dengung)

3. Memendekkan bacaan mad wajib dan mad lazim kepada 2harakat ditempat yang sepatutnya dipanjangkan.

4. Membaca huruf dengan tebal yang sepatutnya huruf itu dibaca nipis dan sebaliknya.

5. Kesalahan pada waqaf( berhenti) bacaan sehingga merosakkan makna ayat al-Quran.

6. Memulakan ayat pada tempat yang tidak sesuai selepas waqaf sehingga merosakan makna.

Kedua : (اللحن الخفي) Kesalahan Tersembunyi


Kesalahan dari jenis ini ialah kesalahan-kesalahan yang tidak membawa kepada perubahan makna.Contohnya, kita tidak dapat menentukan kadar harakat mad dengan tepat atau tidak dapat membaca sifat huruf itu dengan sempurna. Kesalahan ini hanya boleh diketahui oleh ahli-ahli yang mahir dalam ilmu tajwid sahaja.


Tetapi perkara yang amat penting perlu kita ketahui ialah hukum melakukan kesalahan ini ketika membaca al-Quran terutama bacaan ketika solat.


Pertama : Jika di sandarkan kepada kesalahan yang nyata.

Hukumnya ialah berdosa dan boleh membatalkan solat jika dilakukan dalam solat dan menjadi kewajipan untuk belajar cara bacaan yang betul.


Kedua : Jika disandarkan kepada kesalahan tersembunyi.

Hukumnya ialah satu kesalahan yang kecil dan ringan dibandingkan dengan kesalahan yang nyata dan solat mereka masih sah.


Jadi sama-samalah kita merenung diri kita ditahap manakah penguasaan kita terhadap ilmu tajwid dan sejauh manakah kelancaran kita melafazkan Kalam Allah ini. Semoga tulisan kali ini dapat memberi manfaat dan peringatan kepada kita semua terutama diri saya sendiri.


Ingatlah maksud hadis Nabi Muhammad s.a.w “ Sebaik-baik daripada kamu ialah mereka yang belajar al-Quran dan mengajar al-Quran tersebut


Wallahutaala Aa`lam

Friday, August 28, 2009

Ramadhan : Bulan al-Quran

Segala-galanya Bermula di Sini

Syukur alhamdulillah, diri ini masih lagi diberi kekuatan dan kemampuan untuk meneruskan kehidupan dan pengabdian kepada Mu Ya Allah. Berkat pada bulan Ramadhan kali ini, engkau telah menjadikan kami semua antara hamba-hambamu yang rindu untuk melakukan ibadah, rindu untuk untuk bertadarus, rindu untuk berzikir mengingati Mu dan rindu untuk beramal jariah. Segala rindu ini hanyalah selayaknya bagiMu Ya Allah.

Madrasah Ramadhan memang begitu mengujakan dan impaknya terhadap masyarakat amatlah besar. Bayangkanlah, masjid yang hanya beberapa saff saja jemaah pada bulan lain menjadi penuh dan padat pada bulan yang mulia ini. Rezeki-rezeki peniaga juga makin bertambah, sehingga ada dikalangan mereka mampu untuk menukar kereta baru, rumah baru dan menambah pendapatan harian mereka sendiri. Semuanya hasil dari penangan bulan Ramadhan itu sendiri. Berkatnya bulan ini semua dapat merasainya tidak kira muslim atau non muslim.

Semoga ganjaran daripada Allah s.w.t kita semua perolehi hasil daripada daya usaha ibadah yang kita lakukan. Amenn.

Tadarrus al-Quran

Lazimnya Ramadhan tidak akan berseri jika suasana tadarrus al-Quran tidak bergerak seiringan dengan hari-hari dalam Ramadhan itu sendiri. Ketika inilah ramai di kalangan kita mengambil peluang berlumba-lumba untuk bertadarrus al-Quran baik dalam kelompok yang ramai atau sedikit mahupun secara bersendirian.

Bagi yang bergelar Hamalatul Quran, bulan inilah merupakan bulan praktikal dan bulan jihad mereka untuk mengkhatamkan sebeberapa banyak mungkin 30 juzuk al-Quran itu sendiri. Dan ada antara mereka berpeluang untuk membawa dan mengulang hafalan mereka sewaktu ditugaskan menjadi imam solat teraweh.

Tetapi, yang menjadi masalahnya. Sistem tadarrus manakah yang paling sesuai untuk masyarakat-masyarakat umum yang bacaan mereka masih banyak lagi perlu diperbetulkan?

Bagi saya yang masih serba kekurangan, saya merasakan kita tidak perlu kumpulan yang ramai untuk bertadarus. Cukuplah seramai 5 hingga 7 orang dalam satu kumpulan untuk memperdengarkan bacaan mereka bagi satu sesi dengan bergilir-gilir membaca.

Sekurang-kurangnya baca satu muka surat bagi seorang. Seorang membaca dan yang bakinya melihat mushaf dan mendengar serta membetulkan kesalahan bacaan pembaca tersebut dengan cara berhikmah. Bukan dengan memperkecil kelemahan pembaca. Dan seterusnya giliran pembaca kedua membaca hingga giliran pembaca yang terakhir.

Dengan jumlah atau bilangan yang kecil pasti hasilnya lebih bermakna dan lebih berlipat kali ganda daripada kelompok yang ramai. Pembaca juga tidak akan segan dan malu jika bacaan mereka masih lagi serba kekurangan. Yang penting dalam satu kumpulan itu mesti ada seorang yang arif dan tahu tentang ilmu-ilmu tajwid al-Quran.

Di sini bagi saya “Kualiti bacaan yang patut diutamakan dan dipertingkatkan berbanding Kuantiti atau jumlah pembaca.”

Jika ramai yang ingin bertadarrus eloklah dibuka kumpulan yang lain.

Amatlah sayang sekali jika seseorang itu memang begitu berminat untuk memperbaiki bacaannya tetapi dalam waktu yang sama masyarakat di sekitarnya memperlekehkan usaha beliau. Lantas semangat yang berkobar-kobar terus lenyap ditelan perasaan malu. Kebanyakan perkara sebegini berlaku di kalangan masyarakat kita di Malaysia.

Tidak Bermakna

Tadarrus al-Quran juga tidak akan bermakna jika bacaan kita tunggang-langgang dan kita tidak meletakkan hukum tajwid pada tempat yang sebetulnya. Ini kerap berlaku jika kita baca secara berseorangan. Jika ramai, mungkin ahli kumpulan yang lain boleh menegur kesalahan yang kita lakukan.

Bayangkanlah, bacaan mad(6harakat) di baca Qasr(2 harakat), tempat ghunnah dibaca izhar, mad asli dibaca tanpa mad dan banyak lagi kesalahan-kesalahan yang kita lakukan tanpa kita sedari. Ini masih lagi tidak dinyatakan kesalahan baris, sebutan, serta makhraj huruf itu sendiri.

Apakah syafaat daripada al-Quran akan kita dapat jika bacaan kita sebegini. Ingatlah maksud ayat al-Quran yang berbunyi “ Bacalah ayat al-Quran itu dengan bertartil” iaitu dengan bertajwid. Jika kita tidak pandai atau tiada kemahiran dengan ilmu tajwid maka menjadi kewajipan ke atas kita semua dengan kembali belajar ilmu tajwid itu secara amnya dan ilmu al-Quran itu sendiri secara khususnya.

Carilah guru untuk belajar ilmu al-Quran, janganlah di hari esok baru kita nak menyesal.

Ingatlah kata-kata ini. Sebanyak mana pun kita membaca al-Quran ia tidak akan menyamai membaca sebuah buku atau sebuah majalah. Jika sebuah buku sekali baca dah rasa jemu, tetapi hebatnya Kalam Allah ni, baca beribu-ribu kali pun masih lagi tidak ada perasaan jemu itu. Malah, rasa nak baca al-Quran sentiasa bermain-main di minda kita. Inilah tandanya apabila kemanisan membaca al-Quran itu dirasai oleh mereka selalu berdamping dengan al-Quran.

Akhir sekali “ Bagi sesiapa yang masih lagi mempunyai kelemahan dan kesalahan dalam membaca al-Quran, sama-samalah kita membaikinya kepada lebih elok, dan sesiapa yang telah elok bacaannya, sama-samalah kita berusaha untuk menghafaznya terutama bagi yang berkemampuan, dan jika bacaan dan hafazan kita makin elok marilah kita sama-sama memahami penafsirannya, dan akhir sekali bersama-samalah kita mengamalkan setiap ajaran yang terbit dari al-quran itu sendiri tidak kira kita di tahap mana.”

Wallahutaala aa`alam

Indahnya Hidup Ini Dengan Disulami Tarbiyah,

Indahnya Hidup jika al-Quran Menjadi Pedoman,

Alangkah Manisnya Jika Perkenalan Disaluti Ukhwah,

Kepada Allah Ku Pohon Untuk Segala-galanya,

Yang Menjamin Hidupku di Kemudian Hari.

Sunday, August 23, 2009

Ramadhan Di Perantauan

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa (183 ; al-Baqarah)

Hatiku berkata :

Alhamdulillah, sudah sehari kita berpuasa Ramadhan. Kelainan menyambut bulan penuh berkat pada kali ini memang sangat berbeza berbanding tahun lepas. Memang pengalaman menyambut ramadhan di negara orang satu pengalaman yang begitu berharga bagi saya. Salah satunya, jika dahulu semuanya bergantung penuh dengan juadah ibunda ketika berbuka tetapi pada kali ini air tangan kita sendiri yang menghasilkan juadah berbuka.

Sekali lagi saya panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana ayahnda dan bonda telah selamat sampai di tanah suci kota mekah semalam. Hati ini begitu tidak sabar berangkat ke sana untuk bertemu mereka. Sejuk rasanya bila mendapat panggilan daripada abah sebentar tadi. Mujur semuanya selamat dan sihat walaupun cuaca di Mekah agak begitu panas berbanding cuaca di Malaysia. Semoga abah, ma, ayah ngah, dan mak ngah sentiasa sihat selalu disamping menjalankan ibadat puasa dan ibadat umrah di Tanah Suci.

Cuti-cuti Malaysia

Berakhirnya imtihan nihaie fasal saifi, bermakna bermulalah musim cuti bagi kami di Universiti Mu`tah. Ada yang akan balik ke Malaysia, ada yang ke Syria, ke Mesir dan ada yang setia berada di Mu`tah termasuklah saya. Apa-apa pun semoga cuti selama sebulan lebih ini kita mampu memanfaatkannya disamping menjalankan ibadah puasa. Bagi yang pulang ke Malaysia saya doakan kalian agar terhindar dari segala wabak penyakit dan kepulangan kalian mampu menghiburkan hati ibu bapa dan keluarga tercinta. Semoga Allah bersama dengan kalian.

Tidak lupa juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pelajar Mu`tah yang telah berjaya menamatkan pengajian di sini walaupun diri ini tidak begitu mengenali kalian. Semoga segala ilmu yang diperolehi di sini mampu dicurahkan di tanah air nanti dan mampu diterjemahkan dalam kehidupan kalian.

Ramadhan Yang Sama, Natijah Yang Berbeza.

Tak disangka, tema Ramadhan pada kali ini bagi program ihya Ramadhan PERMATA sama dengan tema yang pernah saya lihat dan dengar beberapa tahun lepas di DQ. Rupa-rupanya tema ini dicadangkan oleh sahabat saya sendiri iaitu saudara Syakir kepada ketua unit BBR iaitu saudara Hussin. Indahnya jika, seluruh penghayatan dan amalan kita untuk Ramadhan pada kali ini mampu mengubah kehidupan seseorang ke arah lebih baik sebagaiaman maksud tersirat yang terdapat pada tema tersebut.

Semoga segala ibadah dan amalan kita pada Ramadhan kali ini akan menjadi saksi kepada kita di hari akhirat kelak, insyaAllah. Isilah Ramadhan dengan segala amalan-amalan yang mampu kita lakukan. Perbanyakkanlah tadarrus al-Quran. Ingatlah, bulan Ramadhan adalah hadiah bagi umat nabi Muhammad kerana di dalamnya bermacam-macam ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t jika kita memanfaatkannya.

Semoga ketakwaan akan menjadi milik kita di akhir nanti.Anda mampu mengubahnya.Amenn.

SALAM RAMADHAN DARI BUMI MU`TAH JORDAN

Sunday, August 16, 2009

Semakin Hampir : Ramadhan Mubarak


“Ya Allah Ya Tuhanku bagilah daku kekuatan dan semangat baru untuk menghadapi hari-hari yang bakal mendatang.” Kawan-kawan yang rapat, mahupun yang mengenali diri ini, daku mengharapkan doa-doa kalian semua. Siapalah diri ini tanpa kalian.

Pertama

Terseksa betul jiwa akhir-akhir ini, macam-macam telah berlaku. Ada yang menggembirakan dan ada yang kurang menyenangkan. Maaflah saya pohon kepada kalian semua jika diri ini begitu banyak menyusahkan kalian. Mungkin dalam banyak-banyak hari tak semestinya semuanya langit begitu cerah dan semestinya ada satu hari tu, langit akan kelihatan mendung.

Kedua

Tahniah kepada semua pelajar lepasan DQ yang telah mendapat tawaran masuk ke universiti-universiti Tempatan, Mesir, Arab Saudi amnya dan yang akan menyambung pelajaran ke universiti-universiti di Jordan khususnya di Mu`tah. Dengan kedatangan kalian maka bertambahlah komuniti ex-DQ di sini. Semoga sinar dan cahaya permata yang baru akan terus menyinarkan lagi bumi Mu`tah sebagaimana sahabat-sahabat yang syahid di medan Mu`tah.

Ketiga

“Ramadhan Yang Sama, Natijah Yang Berbeza” Ramadhan bakal tiba, teringat pada kenangan-kenangan lepas bagi menghadapi fasal bulan yang penuh karamah ini. Tahun lepas menyambut Ramadhan di tanah air, tapi tahun ini Ramadhan bakal disambut di negara orang. InsyaAllah 21 hari di Jordan dan baki 9 hari lagi di Mekah dan Madinah al-Munawwarah pada kali ini. Semoga penghayatan Ramadhan pada kali ini lebih baik dari tahun-tahun yang lepas.

Keempat

“ Kerana Allah Tercinta, al-Quran Tersemat Di Dada.” Setakat ini, banyak berita yang begitu menghampakan.. Diri ini begitu takut untuk menghadapi hari-hari kemudian jika amanat yang begitu besar itu diabaikan. Rasa begitu berat untuk menggalasnya seorang diri. Ikhlas dari dalam hati, diri ini begitu memerlukan bantuan kalian semua yang bersedia untuk bersama-sama memartabatnya kembali. Alangkah indahnya jika terwujudnya satu biah al-Quran di kalangan kita.

“Oh kekasihku, aku sayang kamu, aku takut kamu hilang dariku, hilangnya kamu bermakna tidak ada makna bertahun-tahun aku mendambakan dan berjuang mendapatkan kamu. Akan ku usaha untuk menjaga kamu supaya sentiasa di sisiku yang fakir ini, semoga di akhirat nanti madu akan bakal ku perolehi bukannya bara api panas yang boleh menjilat kulit-kulitku. Ameen Ya Allah.”

Thursday, August 13, 2009

Dalam Kenangan : Ustaz Asri Rabbani

Perginya Seorang Pejuang.


Ustaz Asri Rabbani, beliau adalah contoh insan yang telah berjaya menjadikan dakwah bukan hanya tempatnya di masjid atau kuliah-kuliah agama. Dengan menggunakan medium nasyid dan seni suara, dakwah Islam telah berjaya menerobos masuk ke segenap tembok yang mungkin tidak mampu ditembusi oleh cara dakwah yang statik. Semoga akan lahir lagi insan-insan persis Asri Ibrahim yang akan berdakwah dalam ertikata yang luas.

Sama-sama kita doakan agar roh Allahyarham Ustaz Asri ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman. Semoga roh perjuangan beliau dalam arena dakwah tersemat kukuh di sanubari rakyat Malaysia khususya para remaja kita.

Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham Ustaz Asri.

Lirik Pergi Tak Kembali (Rabbani)


Setiap insan pastikan merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang akan dibawa

Terdengar sayup surah dibaca
Sayu alunan suara
Cemas di dada lemah tak bermaya
Terbuka hijap di depan mata

Selamat tinggal pada semua
Berpisah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baiklah atau sebaliknya

Amalan dan taqwa jadi bekalan
Sejahtera, bahagia pulang...kesana

Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala dikirim

Terbaring sempit seluas pusara
Soal bicara terus bermula
Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi

Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kanangan
Diiringi doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi

Dapatkan klip video nasyid di sini

Tuesday, August 11, 2009

Hadiah Buat Kamu

Maksud ayat al-Quran ; Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat. (surah Al-Hujuurat : 10)

Maksud hadith RasuluLlah s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Imamain iaitu al-Imam Bukhari dan Muslim. Sabda Baginda s.a.w yang bermaksud :" Tidak beriman seseorang kamu, hingga kamu mengasihi saudara kamu sepertimana kamu mengasihi diri kamu sendiri."

Alhamdulillah.

Ketika melayari internet saya terjumpa dengan satu klip video yang cukup pendek. Rasa-rasanya Ia agak sesuai di tonton oleh golongan wanita zaman kini.

Atas dasar persaudaraan sesama Islam dan saya juga mengasihi kamu semua saya rasa baik diuplodekan klip video tersebut supaya ia boleh di hayati. Semoga klip video tersebut dapat memberi peringatan kepada kamu semua.

Semoga srikandi-srikandiku Qurratuaini, Hannan Wafi, Aqilah Husna, Siti Fatnin Aisyah, Nurul Izzah Amni, Nur Ain Syuhada, Nur Khalilah, dan permata baru Siti Fathiah Nazirah bakal menjadi seorang muslimah yang solehah suatu hari nanti.

Tidak lupa juga kepada bakal-bakal laksamana-laksamanaku Mohd Adam Hasbi, Mohd Suhail Hasbi, Mohd Sidqi Hasbi dan Mohammad Zakuan. Semoga suatu hari nanti kalian semua menjadi mata rantai perjuangan Rasulullah s.a.w.

Hadiah buat srikandiku.

Monday, August 10, 2009

Coretan Hari Ini

Penat sehari suntuk berjalan disekitar Amman bersama kawan-kawan Mu`tah (Faisal, Hezri, Syafiq) masih lagi bersisa. Jam dah pukul 12.00 malam, tapi mata pula masih belum lagi terasa nak dipejam. Jadi, jari-jariku pun bergeraklah memainkan peranan apa-apa yang patut, yang boleh mendatangkan kita faedah dan moral untuk dijadikan iktibar bersama.


Syukur.


Syukur alhamdulillah, semua urusan mendapat cop pengesahan untuk borang permohonan zakat Kelantan dan surat sokongan tidak mendapat mana-mana tajaan, dari Malaysian Student Department (MSD Jordan) dah selesai dan berjalan dengan lancar. Layanan dari pegawai-pegawai MSD juga cukup memuaskan.


Hari ni juga aku berpeluang untuk makan sup kepala kambing di mat`am Quds. Mujurlah Faisal, Hezri, dan Syafiq membawa aku ke sana. Kalau tak, kempunan la aku nak makan sup kepala kambing. Yang menariknya, satu kepala kambing tu direbus dalam sup dan setelah masak di hidang terus kepada pelanggan. Sekali tengok macam makanan exotic je kepala kambing tu. Yang kelakarnya pulak, gigi kambing turut direbus dan dihidang sekali kepada pelanggan.


Barang-barang souvenir untuk dikirim ke Malaysia alhamdulillah dah terbeli. Cuma masih ada sedikit lagi yang perlu ditambah. Harap-harap anak-anak sedaraku nanti berpuas hati dengan barang-barang hadiah ni walaupun tak seberapa mana. Jangan banyak merungut ye. Terimalah seadanya.he2. Sekarang ni, jubah wanita je yang menjadi masalah. Aku tak tahu nak pilih yang mana. Nampak gaya macam tak beli je kali ni.


Ukhwah


Seronok keluar berjalan-jalan dengan mereka ni ( Hezri, Syafiq dan Faisal). Kebanyakan mereka tidak berkira sebagaimana kawan-kawan Mu`tah yang lain. Budaya tabarru` dan tolong menolong begitu terkenal di kalangan mereka. Tidak berkira dari segi wang, teman kita untuk membeli barang, sanggup tunggu kita memilih barang. Yang paling penting, kenangan dekat Mat`am Quds tak kan di lupakan. Dua orang berjaya dengan rekod cemerlang dan dua orang terkandas di tengah jalan.he2

Ala kulli hal,hari ni aku cukup gembira keluar bersama dengan kamu semua dan aku senang dengan cara kamu. Semoga ruh ukhwah kita berkekalan.


Geram.


Perjalanan pulang ke Mu`tah dari Amman tadi mengambil masa selama dua jam dengan menaiki bas. Perasaan dan jiwaku ketika itu rasa tidak tenteram dan badan pula rasa tidak begitu selesa. Mana tidaknya, penumpang-penumpang dibenarkan menghisap rokok dalam bas walaupun bas tersebut jenis aircond dan takde ruang udara dari luar untuk masuk ke dalam bas.


Rasa angin semacam je dalam hati ni, dengan mereka yang tak bertanggungjawab tu. Macam kembali ke zaman 80`an pulak. Asap-asap rokok berkepul-kepul dalam bas. Baru kutahu, teruk betul perangai arab sebenarnya. Dalam bas beraircond pun nak dibantai dengan merokok. Kalau kat Malaysia dibuat begitu, mungkin dah dibantai dengan kayu mereka ni. Tapi, beginilah perangai arab yang sebenar. Merokok sesuka hati mereka, tak kira dengan perasaan orang-orang sekeliling mereka.


Khulasoh


*Jangan tiru budaya Arab yang suka merokok. Selalu ingat kepada kemaslahatan orang-orang yang ada si sekeliling kita kalau nak hisap rokok.

*Jaga perhubungan sesama kita.

*Ukhwah perlu disemai dan diperlu dijaga sama seperti menjaga pokok yang baru membesar.

*Selalu terapkan nilai-nilai murni dalam diri kita.


*(ini adalah pengalaman pertama penulis pergi ke Amman dan MSD selama beberapa bulan berada di Jordan)