Ya Allah Ya Tuhanku, Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani, Permudahkanlah segala urusan hambaMu ini dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara, permudahkanlah segala urusan duniawi dan ukhrawi hambamu ini Ya Allah. Amen ya Rabbal aa`lamen.
Demi Masa! (1).Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.(2) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.(3) (surah al-asr. 1-3)
Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Permudahkanlah dan jangan menyusahkan, berilah khabar gembira dan jangan menakut-nakutkan.
Suka inginku katakan pada kali ini tentang maksud ayat al-Quran pada surah Al-asr yang berkaitan dengan masa dan hadis dari riwayat Anas bin Malik. Mungkin maksud ayat dan maksud hadis tersebut sudah begitu makruf di kalangan kita tidak kira kita berada di peringkat mana sekalipun.
Secara ringkasnya,
Pada ayat pertama, telah diterangkan kepada kita bahawa Allah telah bersumpah dengan masa. Jika kita renungkan seketika, Apakah Allah sengaja bersumpah dengan masa? Tetapi, yang sebenarnya ia adalah peringatan untuk kita bahawa masa itu merupakan sesuatu yang penting dalam setiap jiwa insan yang bernama manusia. Masa lah yang akan membezakan beruntungnya seseorang itu jika ia dimanfaatkan dan betapa ruginya seseorang itu jika ia di sia-siakan.
Pada ayat kedua dan ketiga, Allah s.w.t telah mengatakan bahawa setiap manusia sentiasa berada dalam kerugian. Tetapi, Allah s.w.t juga telah mengecualikan manusia dari mendapat kerugian dengan menggantikan anugerah kemenangan, kekayaan, kemuliaan dan keuntungan melaui tiga syarat yang perlu dilepasi. Pertama, manusia tersebut merupakan antara orang yang beriman dan sentiasa melakukan amal soleh. Kedua, mereka sentiasa menyatakan perkara-perkara yang benar, iaitu yang hak dikatakan hak dan batil dikatakan batil. Dan terakhir ialah, mereka sentiasa berpesan-pesan ke arah kebaikan dengan penuh kesabaran. Iaitu sentiasa sabar jika ditimpa musibah dan sifat sabar itu diserlahkan melalui sifat peribadinya.
Kembali kepada hadis nabi di atas pula. Inilah antara hadis-hadis yang mudah kita fahami iaitu mafhumnya “ mudahkanlah sesuatu perkara dan sebarkanlah khabar yang gembira”. Bukankah. begitu mudah kita fahami hadis ini tetapi untuk mempraktikkanya agak susah sekali bagi mereka yang tidak faham maksud hadis tersebut.
Disini ku yakin seratus peratus yang seseorang itu tidak suka membazir masanya dengan sia-sia dan tidak suka mengisi masa mereka dengan perkara-perkara yang melalaikan. Tetapi, dewasa kini, ramai di antara kita telah tergolong dalam kelompok orang-orang yang rugi kerana telah membazirkan masa mereka dengan perkara yang tidak sepatutnya mereka lakukan serta perkara tidak berfaedah dan tiada manfaat. Mungkin begitu susah bagi kita untuk mencari orang yang betul-betul mencukupi tiga syarat tadi.
Dalam konteks kita sebagai pelajar termasuk diriku sendiri, masa merupakan sesuatu atau item yang amat penting bagi kita. Jika kita tidak menguruskannya dengan bijak kita akan ketinggalan ke belakang dan hidup akan menjadi porak peranda. Betullah maksud pepatah arab “ masa itu seperti pedang, sekiranya kamu tidak memotongnya ia akan memotong kamu” dan peribahasa Melayu “masa itu emas”. Tetapi, yang menyedihkan sekarang ramai di kalangan kita tidak menguruskan masa mereka dengan perkara-perkara yang sepatutnya sebagaimana status mereka sebagai pelajar. Tidak salah untuk berborak, bersenda gurau, bermain, berchating, dan bermacam-macam ber lagi, asalkan kita tahu batas masa yang sepatutnya kita perlukan untuk lakukan aktiviti-aktiviti tersebut. Ingatlah, jika ia berlebihan kita akan tergolong dalam golongan yang kerugian.
Atas dasar kita sebagai pelajar dan bakal menjadi pendidik sekurang-kurangnya mendidik orang-orang yang terdekat dengan kita, samada mendidik keluarga, kawan-kawan dan masyarakat. Marilah kita sama-sama mencari jalan agar setiap perbuatan kita tidak akan memberi kesan sampingan terhadap masyarakat sekeliling kita. Tanamkanlah dalam diri masing-masing bahawa “aku tidak mahu menyusahkan orang lain dan sentiasa menginginkan orang yang berdampingan denganku sentiasa rasa senang, tenang, gembira, dan bahagia”. Mungkin ada yang akan mempersoalkan semua ini iaitu “susah untuk kita praktikkan dalam kehidupan kita dan kita ni bukanlah terhindar dari melakukan kesalahan dan kesilapan”. Tetapi, selagi kita masih memikirkan bahawa kita belum mampu berbuat demikian, sampai bila-bila kita tidak boleh berbuat demikian. InsyaAllah, jika kita mengazamkan perkara yang baik Allah s.w.t akan menolong mendapatkannya. Dengan syarat apa yang kita azamkan mestilah disertakan dengan tawakal kepada Allah s.w.t.
Semoga, masa kita bakal diisikan dengan perkara-perkara yang berfaedah dan bermanfaat sesuai dengan tugas utama yang di taklifkan kepada kita sebagai penuntut ilmu. Isikanlah masa kita dengan menuntu ilmu seinfiniti mungkin. Janganlah kita menjadi seperti remaja-remaja yang hilang pedoman sebagaimana kita saksikan gelagat remaja-remaja di luar sana suka berfoya-foya. Dan marilah kita sama-sama merenung kembali hidup kita, Apakah masa ku setiap hari banyak di isi dengan perkara berfaedah? Adakah aku hari ini telah menyusahkan seseorang? Apakah aku telah mengguris hati seseorang? Apakah dengan melakukan perkara ini ilmuku akan bertambah?
Fikir-fikirkanlah wahai sahabatku…
Semoga kita tergolong dari kalangan orang cukup tiga syarat yang telah ditetapkan.
No comments:
Post a Comment