Saturday, July 4, 2009

Siapa Aku Di Hadapan Tuhanku?


SIAPA AKU DI HADAPAN TUHANKU?

Subuhnya,
Di mana aku berada,
Masih enak dalam kelambu rindu,
Sambil berfoya-foya dengan waktu,
Masa bagaikan menderu,
Langkah tiada arah tuju,
Fikiran terus bercelaru,
Terlupa aku semakin di hujung waktu,

Siapa aku di hadapan Tuhanku?

Zohornya,
Aku lebih memikirkan kelaparan,
Kehausan dan rehatku,
Aku lebih mementingkan,
Tuntutan jawatanku,
Aku bertolak ansur dengan waktu,
Aku gembira membilang keuntungan,
Aku terlupa betapa besar kerugian,
Jika aku menggadaikan sebuah ketaatan,

Siapa aku di hadapan Tuhanku?

Asarnya,
Aku lupa warna masa,
Cepat berubah bagaikan ditolak-tolak,
Aku masih dengan secawan kopiku,
Terlupa panas tidak di hujung kepala,
Aku masih bercerita,
Tentang si Tuah yang setia dan si Jebat yang derhaka,

Siapa aku di hadapan Tuhanku?

Maghribnya,
Aku melihat warna malam,
Tetapi aku masih berlegar,
Di sebalik tabirnya,
Mencari sisa-sisa keseronokan,
Tidak terasa ruang masa yang singkat,
Jalan yang bertongkat-tongkat,
Ruginya bertingkat-tingkat,

Siapa aku di hadapan Tuhanku?

Isyaknya,
Kerana masanya yang panjang,
Aku membiarkan penat,
Menghimpit dadaku,
Aku membiarkan kelesuan,
Menggangguku,
Aku rela terlena,
Sambil menarik selimutku,
Bercumbu-cumbu dengan waktuku,

Siapa aku di hadapan Tuhanku?

Kini,
Aku menjadi tertanya-tanya,
Sampai bila aku akan,
Melambatkan sujudku,
Apabila azan berkumandang lagi,
Aku tidak akan membiarkan,
Masjid menjadi sepi,
Kerana di hujung hidup ada mati,
Bagaimana jenazahku,
Akan dibawa sembahyang di sini,
Jika ruangku dibiarkan kosong,
Jika wajahku menjadi asing,
Pada mentari dan juga,
Bintang-bintang,

Siapa aku di hadapan Tuhanku?

Semoga hati kita sentiasa terpaut dengan Allah dan solat kita sentiasa terjaga.
Sajak ini ditujukan khas untuk diri sendiri serta sahabat-sahabat yang lain.
Semoga menjadi inzar kepada kita.

2 comments:

$hakirShafiee™ said...

WAh.. sedihnya.. heee

sabiq said...

bilakah jemi pandai bermadah puisi ni...